Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PERKASA tubuh j/kuasa penyelaras Felda
Diterbitkan:  Jan 11, 2012 7:20 PM
Dikemaskini: 10:58 PM

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) hari ini mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Penyelaras Perkasa Felda Malaysia (Perkasa Felda).

Dalam satu kenyataan, presidennya, Datuk Ibrahim Ali, jawatankuasa tersebut akan diterajui oleh warga Felda sendiri - Abd Razak Abd Rahim.

NONE Sementara ketika dihubungi Bernam a, Ibrahim berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut bertujuan memudahkan warga Felda di seluruh negara mendaftar sebagai anggota pertubuhan itu.

   

"Sebenarnya ramai orang Felda yang nak jadi ahli PERKASA. Namun dengan adanya jawatankuasa ini, maka mudah untuk mereka mendaftar sebagai ahli kerana ia diterajui oleh warga Felda sendiri.

   

"Ia juga bertujuan membantu warga Felda dalam isu-isu yang sering dibangkitkan kebelakangan ini. Penubuhan jawatankuasa ini adalah berikutan permintaan daripada orang Felda sendiri," katanya.

Felda kini mendapat perhatian umum ekoran rancangan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di pasaran utama Bursa Malaysia menjelang April tahun ini.

Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang dianggotai oleh peneroka Felda dan kini mempunyai kepentingan terbesar dalam Felda, akan mendapat manfaat besar menerusi penyenaraian tersebut.

Pada 23 Disember lalu, empat ahli KPF memfailkan saman pemula terhadap KPF dan FGVH di Mahkamah Tinggi Temerloh bagi memohon injunksi mahkamah untuk menghalang Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF diadakan pada 5 Januari.

Bagaimanapun, pada 4 Januari lalu, mereka menarik balik saman pemula bagi menghalang mesyuarat tersebut, mereka dimaklumkan bahawa mesyuarat itu telah dibatalkan.

NONE Manakala Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (ANAK) yang turut membantah rancangan itu, akan mengadakan program jelajah - Gerakan Selamatkan Felda - berhubung isu penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia.

Hari ini, ANAK menyerahkan memorandum bantahan kepada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) di Kelana Jaya hari ini berhubung perkara itu.

Sementara itu, Ibrahim - dalam kenyataan tersebut - turut mengumumkan beberapa rombakan kepimpinan PERKASA di peringkat negeri dengan melantik beberapa tokoh sebagai usaha memperkukuhkan organiasasi mereka di negeri berkenaan.

Tiga buah negeri yang terlibat dalam rombakan itu adalah Terengganu, Perak dan Pahang - masing-masing menerima yang dipertua (YDP) PERKASA baru bagi menggantikan pemimpin sebelum ini atas alasan kesihatan atau memberi tumpuan sepenuhnya kepada PERKASA pusat.

Dalam kenyataannya hari ini, Ibrahim mengumumkan pelantikan Ismail Samaah sebagai YDP PERKASA Terengganu, menggantikan Mohd. Lukman Muda yngg terpaksa berundur atas sebab kesihatan.

Manakala Md Yusof Alang Ahmad pula dilantik sebagai YDP Perak, menggantikan Zaini Ismail yang ingin menumpukan tugas sebagai anggota Dewan Tertinggi PERKASA pusat.

Sementara Datuk Dr Abd Wahid Abd Manap (YDP PERKASA Pahang) menggantikan Dr Zubir Harun yang terpaksa menumpukan tugasnya sebagai naib presiden dan pengerusi biro ekonomi PERKASA.

"Ada lagi sedikit perubahan di peringkat negeri dalam masa terdekat, bagi memantapkan lagi kepimpinan PERKASA yang menuntut kecergasan, tumpuan dan berupaya mengerakkan perjuangan hingga ke akar umbi bagi memenuhi harapan umat Melayu, Islam dan ahli-ahli PERKASA.

"Cabaran mendatang lebih hebat, maka kepimpinan Perkasa akan dipastikan mempunyai daya juang yang tinggi, jujur, berani dan amanah kepada diri dan organasasi," kata Ibrahim.

Dalam kenyataan itu juga, Ibrahim  turut mengumumkan pelantikan baru dalam dewan tertingginya yang melibatkan bekas pemimpin tentera darat dan laut.

Mereka adalah Laksamana Madya (B) Datuk Mat Rabi Abu Samah (TLDM) dan Left-Jen (B) Datuk Mohd. Salleh Ismail (Angkatan Tentera Darat Malaysia).  

 

"Ini bermakna ada tiga ahli dewan tertinggi dari kalangan bekas pegawai tinggi tentera termasuk Brig-Jen (B) Datuk Sujak Abok (TUDM)," kata Ibrahim yang juga ahli parlimen Pasir Mas.  

Ibrahim berkata, dewan tertinggi PERKASA turut dianggotai bekas timbalan ketua polis negara, Tan Sri Shamsuri Arshad; lima  tokoh akedemik antaranya Prof Datuk Dr Halim, Prof Datuk Ramlah Adam, Datuk Rauf Husein (bekas timbalan pengarah pendidikan Malaysia), dan dua naib presiden - Prof Madya Dr Ashraf Wajidi dan Dr Zubir Harun.

Katanya, terdapat enam peguam dalam dewan tertinggi termasuk Datuk Zulkifli Nordin (naib presiden), Datuk Salahudin Saidin dan Datuk Hamzah Kasim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS