Muslimat PAS yang berhimpun di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Isnin lalu mempertontonkan gelagat yang cukup memalukan sewaktu menunggu keputusan perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, dakwa Utusan Malaysia .
Menurut laporan di halaman 4, akhbar milik Umno itu berkata meskipun bertudung labuh dengan sebahagian besar mereka berjubah, muslimat PAS itu itu “menyanyi-nyanyi dan bersorak tanpa mempedulikan orang ramai yang memerhatikan aksi mereka”.
“Dengan dipimpin oleh seorang ketua yang memegang pembesar suara, muslimat PAS itu menyanyi-nyanyi dan bersorak tanpa mempedulikan orang ramai yang memerhatikan aksi mereka.
“Lebih memalukan, muslimat PAS itu seolah-olah lupa diri sehingga sanggup mengeluarkan perkataan ''Umno mampus'' malah ada kalangan mereka yang gagal menjaga aurat dengan selamba bersalaman dengan lelaki bukan muhrim,” petik akhbar itu lagi.
Pada perhimpunan Isnin lalu, tidak kurang 5,000 hadir bagi menyokong ketua umum PKR itu. Mereka bukan sahaja daripada penyokong PKR tetapi juga membabitkan penyokong Pakatan Rakyat yang lain seperti DAP dan PAS serta juga orang ramai.
Utusan juga mempersoalkan Ketua Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusof yang bukan setakat tidak melarang gelagat tidak senonoh pengikutnya, malah kelihatan gembira dan bersama-sama meraikannya.
Aurat
Sebelum ini, beberapa blog pro-Umno juga membuat dakwaan yang sama dan memuat-naikkan gelagat yang dikatakan tidak sopan itu ke laman sosial Youtube.
Antaranya blog Sel13.com di http://sel13.com yang turut mempertikaikan akhlak muslimat PAS itu sedangkan menurut blog berkenaan PAS satu masa dahulu pernah mengharamkan wanita menyertai tilawah al-Quran kerana suara wanita adalah aurat.
''Jika dulu PAS sering mengutuk Wanita serta Puteri Umno kerana tidak berakhlak dan bebas bersalaman dengan bukan muhrim. Adakah itu berakhlak?
''Walaupun Ketua Muslimat PAS berada di situ tetapi tiada langsung usaha untuk menghalang daripada menghentikan perbuatan tidak berakhlak ahli-ahlinya. Malah, beliau pula yang turut sama bergembira.
''Kami tidak berhasrat menulis lebih panjang lagi. Kami pulangkan kepada rakyat untuk menilai akhlak sebenar muslimat-muslimat PAS yang selama ini memperjuangkan Islam melebihi orang lain," petik blog berkenaan.
Dosa rasuah
Sementara itu, mengulas laporan berkenaan, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud berkata kegembiraan yang dizahirkan secara nyanyian beramai-ramai secara spontan itu telah menaikkan kemarahan penyokong Umno dan BN dan membuka peluang mereka untuk membina persepsi negatif terhadap PAS.
“Apalah ‘kesilapan’ yang sedikit ini dibandingkan dengan dosa rasuah, penyelewengan, kezaliman, penolakan hukum hudud yang dilakukan pimpinan Umno BN serta Fitnah I dan II terhadap Anwar?” katanya kepada Harakahdaily .
Menurut Siti Mariah ( kiri ), ia satu kesinambungan usaha Umno BN untuk memburukkan PAS yang cuba menggambarkan yang akhlak muslimat buruk dan mempersoalkan moral muslimat.
Baginya, rakaman itu sebenarnya hendak ditujukan kepada ahli-ahli PAS dan penyokong PAS yang tidak hadir di Himpun 901 dan akan melihat rakaman tersebut di luar konteks peristiwa.
“Kami menduga ia akan memberi persepsi negatif terhadap muslimat PAS kepada mereka yang mungkin tidak pernah turun ke jalan raya untuk demonstrasi dan tidak mungkin memahami perasaan mereka yang sentiasa berhadapan dengan kezaliman pihak berkuasa, biasa disembur dengan gas pemedih mata dan air beracun,” katanya lagi dipetik Harakahdaily.
Menurutnya, anak-anak muda itu menghabiskan usia muda mereka bersama berjuang menuntut keadilan dan menyanggah kezaliman regim Umno BN.
“Saya menghadiri dan bersama dengan sebahagian wanita dalam Himpun 901 dari awal hingga peserta Himpun 901 bersurai. Saya juga acap kali turun berdemo dan sentiasa memantau pergerakan muslimat,” katanya.
Portal rasmi PAS itu juga melaporkan Siti Mariah berkata, sesiapa yang ada bersama pada Himpun 901 tahu yang sebahagian Muslimat PAS dan wanita yang hadir telah berhimpun di satu sudut tempat berhimpun untuk bermunajat kepada Allah SWT untuk membebaskan Anwar.
B acaan Ma’thurat dan Yasin
“Kami telah mengetuai bacaan Ma’thurat dan Yasin. Malah pengumuman pembebasan Anwar diumumkan sebaik sahaja muslimat habis membaca Yaasin.”
Katanya lagi, sebahagian muslimat telah mengadakan sujud syukur sebaik sahaja keputusan diketahui di tempat perhimpunan.
“Semasa bergerak keluar daripada tempat parkir menuju ke masjid berhampiran kami berselawat beramai-ramai. Ini semua tidak pula dimasukkan ke YouTube,” katanya.
Tambah beliau lagi, selepas berselawat barulah mereka menyanyikan lagu reformasi dengan spontan.
Baginya, tidak ada apa salahnya bernyayi beramai-ramai dengan bersemangat dalam sekitar 10 minit.
Kata beliau, sememangnya semua yang hadir dari sebelum Subuh lagi terlalu gembira dengan pembebasan Anwar.
Jelasnya lagi, tidak ada percampuran dengan lelaki dan perempuan, tidak ada pendedahan aurat, tidak ada lenggang lengguk yang menggiurkan, intonasi suara bukan intonasi yang jatuh kepada haram, dan perkataan yang digunakan tidaklah lucah.
“Kalau kita singkap sirah Rasulullah SAW, apabila Nabi SAW sampai di Madinah baginda di sambut oleh muslimat dengan nanyian dan rebana untuk menzahirkan kegembiraan,” katanya.