Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata walaupun hairan dengan keputusan mahkamah berhubung kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun katanya keputusan itu membuktikan tiada konspirasi atau campur tangan kerajaan terhadap badan kehakiman negara.
Dr Mahathir berkata keputusan mahkamah hari ini juga membersihkan imej dan kredibiliti kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan dakwaan-dakwaan buruk, kononnya zalim sehingga boleh memanipulasikan hakim dan keputusan mahkamah di negara ini.
"Walaupun saya hairan jugalah pasal dia (Anwar) tak bersalah. Tapi ini bukti bahawa tidak ada konspirasi dari dulu sampai sekarang. Apabila pihak mahkamah berpendapat dia (Anwar) tidak bersalah, mereka (mahkamah) berkata dia tidak bersalah. Mungkin ada pihak yang nak appeal, saya tak tahulah," katanya.
Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian insentif kepada pemenang pingat emas acara tenis kerusi roda, Abu Samah Borhan, di Sukan Para Asean ke-6 di Solo Indonesia yang berlangsung baru-baru ini.
Tegas beliau badan kehakiman negara sentiasa bebas dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk pihak kerajaan atau pembangkang dalam membuat sebarang keputusan.
"Itulah sangkaan buruk mereka (pembangkang) iaitu ada konspirasi untuk menganiaya beliau. Mereka sangka kononnya tentu dia (Anwar Ibrahim) akan didapati bersalah tetapi dia didapati tidak bersalah (oleh mahkamah)," katanya.
Dr Mahathir berkata sangkaan buruk sesetengah pihak termasuk pembangkang berhubung sistem kehakiman negara selama ini ternyata salah dan tidak berasas sama sekali.
"Kononnya kerajaan ini zalim sampai hakim pun kerajaan manipulate. Ini tak pernah berlaku. Di dalam negara kita berapa kali kita dah lihat pihak kerajaan didapati bersalah," katanya.
- Bernama