Seorang wartawan adalah antara tiga lelaki yang ditahan polis kerana dipercayai menconteng dinding menggunakan penyembur cat di pelbagai lokasi berhampiran Brickfields awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata mereka ditahan kira-kira 6.30 pagi itu kerana menulis perkataan biadap pada dinding berkenaan.
"Kami menemui contengan itu di Pasar Seni, Penjara Pudu, Bangsar Utama, Stesen Komuter Pantai Dalam dan Stesen Bas Jalan Raja Laut di sini," katanya kepada pemberita semalam.
Beliau berkata seorang daripada suspek adalah pemberita akhbar milik parti pembangkang manakala dua lagi penulis bebas.
Mereka ditahan anggota polis yang melakukan rondaan di Lebuhraya Baru Pantai (NPE) ketika dalam perjalanan ke Stesen Komuter Pantai Dalam.
Wan Abdul Bari berkata suspek yang berusia lingkungan 27 dan 30 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi ugutan jenayah serta Seksyen 509 kanun sama kerana menulis 'perkataan atau isyarat yang bertujuan menghina
kesopanan seseorang'.
Beliau berkata mereka ditahan berdasarkan aduan polis sendiri dan direman sehingga 10 Januari ini.
Polis ditendang depan masjid
Dalam kes berasingan, polis menahan seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam di depan Masjid Ar-Rahman di Lembah Pantai di Kuala Lumpur pada 11.15 malam semalam kerana didakwa menendang seorang pegawai polis.
Wan Abdul Bari berkata sebelum kejadian, penuntut lelaki berusia 22 tahun itu dilihat duduk di atas sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan.
"Apabila anggota polis yang bertugas memintanya mengikut mereka untuk membantu siasatan, dia enggan dan menendang pegawai tersebut," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar semalam.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan mahasiswa tersebut ditahan reman selama empat hari.
- Bernama