Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menawarkan khidmat Angkatan Tentera Malaysia kepada Polis Diraja Malaysia bagi menghadapi perhimpunan anjuran Pakatan Rakyat pada Isnin ini.
Katanya, beliau yakin polis mampu menangani sebarang kemungkinan semasa perhimpunan itu yang dijangka dihadiri ribuan penyokong parti itu pada hari mahkamah akan mengumumkan keputusannya dalam kes membabitkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dituduh meliwat.
"Oleh kerana PDRM mempunyai kekuatan anggota yang mencukupi, ATM yakin bahawa mereka boleh melaksanakan tugas menangani sebarang permasalahan yang timbul pada 9 Januari nanti.
"Namun jika situasi memerlukan ATM untuk membantu PDRM, kita sentiasa bersiap siaga demi keselamatan dan pertahanan negara bagi menentukan kerajaan yang sah, sistem perundangan yang telus, serta sistem demokrasi yang sedia dijalankan begitu lama oleh negara kita, akan dapat dipertahankan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur hari ini.
Ahmad Zahid meminta kedua-dua pihak, sama ada penyokong atau yang menentang perhimpunan itu, supaya berkompromi dan tidak mengadakan perhimpunan itu.
"Jangan fikir, mereka (penganjur) dapat sokongan semua pihak, ada pihak tak suka perhimpunan itu. Contohnya yang mewakili NGO, mereka juga akan rasa mereka ada hak untuk berhimpun untuk menyatakan bantahan terhadap perhimpunan tersebut.
"Jika ini terjadi, maka keadaan akan menjadi lebih buruk. Pada masa ini pula, saya dengar penganjur perhimpunan itu sudah adakan roadshow seluruh negara, NGO-NGO ini juga akan lakukan perkara yang sama, jadi ini harus dihentikan," katanya.
Ahmad Zahid berkata, penganjur perhimpunan perlu menerima saranan kerajaan untuk mengadakan perhimpunan di tempat yang sudah ditentukan dan terjamin keselamatannya.
"Saya juga suka mengingatkan kepada kepimpinan tertinggi mahupun anggota-anggota UMNO di peringkat akar umbi supaya tidak mengambil bahagian dalam perhimpunan itu nanti baik sebagai penyokong atau penentang bagi mengelak sebarang permasalahan yang timbul.
"Kepada NGO-NGO itu yang ingin lancarkan perhimpunan itu juga, saya harap fikirkan jalan terbaik supaya tidak berlaku pertembungan dua pihak," katanya.
- Bernama