Polis menafikan dakwaan anggotanya menggunakan kekerasan ketika menyuraikan perhimpunan haram anjuran kumpulan penuntut Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) selepas sambutan Ambang Tahun Baru di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi tadi.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata dakwaan yang tersebar di beberapa blog mengenai kecederaan dua anggota SMM akibat dipukul Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) adalah tidak benar dan merupakan fitnah.
"Semasa perhimpunan itu, tiada anggota FRU dipanggil bertugas... hanya anggota dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Tanjung Malim sahaja, dan ternyata blog berkenaan cuba membuat fitnah.
"Malah semasa menyuraikan perhimpunan haram itu, anggota kami tidak menggunakan sebarang kekerasan malah bertindak dengan sangat berhemah," katanya pada sidang akhbar di Tanjung Malim hari ini.
Beliau berkata kecederaan anggota kumpulan mahasiswa itu adalah disebabkan rempuhan yang mereka lakukan sendiri, dan bukan dipukul polis seperti didakwa.
Mohd Shukri berkata pada awalnya, polis cuba menasihati kumpulan itu dan memberi masa selama 30 minit untuk bersurai, namun mereka tidak menghiraukannya malah bertindak lebih agresif.
"Mereka kemudian mara dan berbaring di atas jalan raya, mengganggu lalu lintas... polis terpaksa bertindak demi keselamatan awam menghalang perlakuan berkenaan, namun ia masih dilakukan dengan berhemah.
"Mereka terus lari lalu merempuh pula klinik berdekatan sehingga berlaku kerosakan pada premis itu dan kemudian polis menahan 17 penuntut pada masa tersebut," katanya.
Beliau berkata tiga laporan polis diterima hari ini, iaitu satu laporan daripada seorang penuntut perhimpunan berkenaan yang melihat rakannya dipukul polis, manakala seorang lagi membuat laporan mengenai kecederaannya akibat rempuhan di klinik dan satu daripada pekerja klinik berkenaan yang dirempuh.
Katanya, perhimpunan itu adalah haram kerana tidak mempunyai permit manakala SMM merupakan sebuah persatuan yang tidak berdaftar.
Mohd Shukri juga menyeru semua penuntut agar tidak terlibat dengan mana-mana aktiviti perhimpunan haram serta tidak sewenang-wenangnya memfitnah PDRM tanpa usul periksa kerana pihaknya akan bertindak tegas demi menjaga ketenteraman awam.
Kesemua 17 penuntut yang ditahan berusia antara 19 dan 24 tahun disiasat mengikut Seksyen 186, 145 dan 147 Kanun Keseksaan serta Seksyen 27(5) Akta Polis, namun dibebaskan dengan jaminan polis petang tadi setelah diambil keterangan.
Awal pagi tadi, kira-kira 70 penuntut beberapa universiti berhimpun secara haram di pekarangan UPSI selepas sambutan Ambang Tahun Baru bagi menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971.
Selain itu, mereka mendesak agar penuntut UPSI Adam Adli, yang menurunkan bendera wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Ibu Pejabat Umno sewaktu demonstrasi 17 Disember lepas, tidak dikenakan tindakan tatatartib oleh pentadbiran universiti berkenaan.
- Bernama