Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penggiat filem dibenar tapis filem sendiri
Diterbitkan:  Dec 22, 2011 4:22 AM
Dikemaskini: Dec 22, 2011 12:23 AM

Berkuatkuasa tahun depan semua penggiat filem di negara ini dibenar melakukan pengawal seliaan dan penapisan sendiri terhadap filem atau drama yang dihasilkan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam.

    

Menurutnya mereka juga akan menilai sendiri apakah yang boleh atau tidak boleh disiarkan dalam karya masing-masing dan bertanggung jawab sepenuhnya terhadap keseluruhan adegan termasuklah jika ada penayangan adegan berbaur seks atau unsur-unsur tahyul.

    

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Hala Tuju dan Kawalan Penapisan Filem di Malaysia di sini hari ini, Mahmood berkata Kementerian Dalam Negeri serta agensi berkaitan di bawahnya hanya akan bertindak sebagai penasihat dan pemerhati kepada industri filem, lapor Bernama .

Menurutnya keputusan itu dibuat kerana kementerian ingin bersikap lebih terbuka dan tidak ingin menjadi penghalang kepada proses kemajuan industri filem yang menelan perbelanjaan yang tinggi.

    

"Bagaimanapun, notis peringatan daripada kementerian, bahagian kawalan filem, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Lembaga Penapisan Filem (LPF) akan dipaparkan pada skrin semasa penayangan filem itu untuk memaklumkan filem itu ada unsur khurafat, seks atau sebagainya," katanya.

    

Sehubungan itu beliau berharap penonton akan dapat menilai sendiri sesebuah filem yang ditonton dan tidak akan mengamalkan unsur-unsur negatif yang ditayangkan.

    

Menurutnya ketika ini terdapat dua filem yang sukar untuk ditayangkan di pawagam kerana mempunyai unsur-unsur tidak sesuai termasuklah filem Hantu Kapcai yang mempunyai adegan yang tidak boleh diterima umat Islam dan mendapat bantahan pihak tertentu.

    

Bagaimanapun melalui pendekatan terbaru bermula tahun depan, filem itu tetap akan ditayangkan dan terpulang kepada penonton untuk membuat penilaian supaya tidak terpengaruh dengan adegan tidak baik, katanya.

    

Sementara itu bagi menghargai jasa pihak tertentu yang memberi sumbangan kepada industri perfileman, penerbit filem Datuk Yusof Haslam dan David Teo menerima Anugerah Khas Penggiat Filem.

    

Anugerah Khas Kementerian Dalam Negeri pula diterima oleh anggota jawatankuasa Rayuan Filem Kementerian Dalam Negeri yang juga bekas pengerusi LPF Datuk Mohd Hussain Shafie dan pensyarah Universiti Malaysia Perlis Prof Dr Asiah Sarji.

ADS