Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pada tengah hari 16 Disember 2011, tersebar berita berikutan kenyataan Timbalan Presiden MIC, Datuk Dr S Subramaniam kepada wakil media di Ayer Keroh, Melaka bahawa novel Interlok Edisi Murid akan ditarik balik daripada dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) mulai 2012.

Kemudian, Presiden MIC, Datuk G Palanivel dilaporkan turut membuat kenyataan di Kulim, Kedah bahawa keputusan berkenaan dicapai dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu.

Dalam meneliti perkembangan terkini kontroversi ini yang bermula dengan "Interlok Kulit Merah" dan kini berada dalam versi "Interlok Kulit Biru", Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) bersikap objektif dan rasional; bukan emosional.

Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri belum membuat sebarang kenyataan rasmi mengenai isu ini. Khabarnya, pengumuman akan dibuat dalam tempoh terdekat.

Maka, Kavyan hanya akan menerima berita penarikan balik Interlok Edisi Murid sebagai "benar dan sah" apabila pengumuman rasmi dilakukan Muhyiddin.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi menyatakan pada 22 Jun 2011 bahawa pencetakan semula 390,000 naskhah novel itu melibatkan kos sekitar RM1 juta; termasuk kos penghantaran.

Kavyan mahukan penjelasan daripada Kementerian Pelajaran mengapa novel yang belum sepenuhnya dimurnikan seperti dipersetujui itu dicetak dan kini mahu ditarik balik penggunaannya.

Pada Jun 2011 juga, "pelekat ajaib" digunakan untuk melakukan pindaan minimum pada novel berkenaan sedangkan tindakan itu tidak selaras dengan apa yang dijanjikan Muhyiddin di Dewan Rakyat pada 24 Mac 2011. Kavyan ingin tahu berapa banyak wang rakyat terbazir dalam proses mencetak "pelekat ajaib" itu.

Akhbar Makkal Osai pada 10 Disember 2011 melaporkan Palanivel sebagai berkata bahawa segala perkara yang menyentuh sensitiviti kaum India dalam novel itu sudah dibetulkan.

Maka, Kavyan mempunyai alasan untuk berasa amat hairan mengapa MIC tiba-tiba perlu meminta kabinet menarik balik sebuah novel yang sudah pun "diluluskan" olehnya dan dicetak semula baru-baru ini atas persetujuannya sendiri.

Kavyan bimbang jika keputusan yang tiba-tiba ini bermotif politik dan semata-mata bertujuan meraih undi rakyat (khususnya kaum India) menjelang pilihan raya umum Ke-13.

Dalam kenyataan pertama yang dilakukan pada 3 Januari 2011 dan disiarkan di Malaysiakini , Kavyan menegaskan bahawa " Interlok Edisi Murid wajib dimurnikan".

Dalam kenyataan rasmi pada 29 November 2011, Kavyan memutuskan bahawa " Interlok Kulit Biru (2011) adalah edisi yang lebih baik daripada Interlok Kulit Merah (2010) tetapi bukan edisi yang dijanjikan oleh Menteri Pelajaran pada Mac 2011".

Atas kegagalan Kementerian Pelajaran serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerbitkan Interlok Edisi Murid dalam edisi yang dimurnikan sepenuhnya seperti dijanjikan pada 23 Mac 2011, Kavyan setuju bahawa novel yang dicetak semula baru-baru ini perlu ditarik balik daripada digunakan di sekolah sebagai teks Komsas.

Bagaimanapun, Kavyan berminat untuk tahu apa alasan sebenar yang bakal diberikan oleh Muhyiddin "dalam masa terdekat" untuk menjelaskan mengapa Kabinet memutuskan "pada minggu lalu" supaya novel itu ditarik balik.

Pada masa sama, Kavyan mahu Kementerian Pelajaran dan DBP memberi jaminan bahawa Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain tetap menerima royalti bagi Interlok Kulit Merah dan Interlok Kulit Biru yang sudah dicetak, walaupun novel itu tidak dijadikan teks Komsas.

Kavyan tetap mempertahankan bahawa Abdullah tidak boleh dipersalahkan dalam kontroversi yang timbul berikutan kegagalan Kementerian Pelajaran dan DBP menerbitkan novel berkenaan dalam bentuk edisi murid ( student edition ) yang sesuai sejak mula.

Kavyan juga menggesa DBP mengembalikan hak cipta karya kepada Abdullah.


enulis merupakan Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan). Beliau juga bekas anggota jawatankuasa yang ditubuhkan kerajaan bagi mencadangkan pindaan terhadap Interlok.

Tulisan ini merupakan pendirian rasmi NGO itu dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS