Malaysia Airlines (MAS) akan menggantung lapan laluan yang mencatat kerugian, tahun depan bagi mengawal kos.
Laluan terbabit termasuk laluan harian Kuala Lumpur-Surabaya, yang akan digantung mulai 7 Jan, penerbangan tiga minggu sekali Kuala Lumpur-Dubai (10 Jan), penerbangan dua kali seminggu Kuala Lumpur-Karachi-Dubai (12 Jan), penerbangan tiga kali seminggu Kuala Lumpur-Dubai-Damman (13 Jan), penerbangan harian Langkawi-Pulau Pinang-Singapura (30 Jan), penerbangan tiga kali seminggu Kuala Lumpur-Johannesburg (31 Jan), penerbangan dua kali seminggu Kuala Lumpur-Cape Town-Buenos Aires (1 Feb) dan penerbangan tiga kali seminggu Kuala Lumpur-Rom (2 Feb).
Persediaan alternatif akan dilakukan dengan syarikat penerbangan lain bagi mereka yang telah menempah tiket untuk laluan terbabit selepas tarikh penggantungan, kata MAS dalam satu kenyataan.
Penggantungan itu dibuat secara berpingkat-peringkat, selari dengan program rasionalisasi yang diumumkan minggu lalu.
"Keputusan itu dibuat berdasarkan analisis bebas dalaman terhadap hasil dan keuntungan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya.
"Ini menyumbang hampir 12 peratus daripada kapasiti penumpang dan kami menganggarkan rasionalisasi berterusan laluan akan meningkatkan muatan, menambah hasil dan menyumpang impak keuntungan sebanyak RM220 juta hingga RM302 juta bagi 2012," katanya.
"Rasionalisasi laluan tersebut dijangka memberi impak minimum ke atas kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan di Asia memandangkan kami akan bekerja keras bersama rakan perkongsian kod kami," katanya.
Ahmad Jauhari berkata menerusi program sedia ada antara syarikat penerbangan nasional dengan rakan perkongsian kod, ia akan terus mempromosikan perhubungan antara Malaysia dan destinasi antarabangsa lain selain menyumbang terhadap usaha keseluruhan oleh pelbagai pihak berkuasa untuk meningkatkan ketibaan pelancong ke Malaysia.
"Kami berharap dapat kembali menawarkan perkhidmatan ke pasaran ini selepas perniagaan kami kembali stabil.
"Malaysia Airlines kesal terhadap kesukaran yang dialami oleh penumpang berikutan perubahan ini, dan memberi jaminan bahawa semua tempahan untuk laluan itu akan ditunaikan," katanya.
Ahmad Jauhari berkata ia akan membuat persediaan alternaif dengan syarikat penerbangan lain, pada kosnya sendiri bagi meminimumkan kesukaran ke atas penumpang.
"Impak rasionalisasi ke atas operasi kargo MAS juga dijangkakan minimum memandangkan syarikat penerbangan itu akan terus mengekalkan destinasi utama kargo di United Kingdom, Eropah, Jepun, Australia, Timur Tengah, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat," katanya.