Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng beranggapan keputusan pilihan raya umum akan datang akan ditentukan oleh ‘pengundi hantu’.
"Kalau kita tidak bercakap mengenai hantu, kita akan dihantui dengan keputusan pilihan raya yang tidak mencerminkan kehendak rakyat.
"Amat bahaya jika cadangan PSC tidak dilaksanakan,” katanya pada wacana anjuran akhbar Sinar Harian yang berjudul ‘PRU-13: Undi siapa jadi penentu’ di Shah Alam, hari ini.
Lim, yang juga adalah ketua menteri Pulau Pinang berkata jika ‘hantu’ itu ditangkap kuasa sebenar penentu parti mana yang layak menubuhkan kerajaan persekutuan dan menduduki Putrajaya akan ditentukan oleh penduduk di Sabah dan Sarawak.
"Kalau 'hantu' dapat ditangkap maka penentu kemenangan sesebuah parti bergantung kepada undi di Sabah dan juga Sarawak.
"Mereka akan tentukan sama ada kita boleh dapatkan angka ajiaib - 112 (bagi majoriti di Parlimen),” katanya.
Menurut Lim, Pakatan Rakyat berharap rakyat di Sabah dan Sarawak berani membuat perubahan bagi mencari satu kelainan dalam pemerintahan yang akan datang.
"Rakyat seharusnya memberi peluang kepada Pakatan Rakyat untuk parti itu membuktikan kepada rakyat bahawa pentadbiran yang dilaksanakan akan bersikap telus tanpa ada sebarang unsur rasuah serta kroni," katanya,
Dalam nada berseloroh Lim berkata, Pakatan memang tiada pengalaman dalam mentadbir sebuah kerajaan yang besar tetapi mereka juga tiada pengalaman dalam mengamalkan rasuah serta kroni dalam pentadbiran di negeri-negeri Pakatan.
Selain Lim, anggota lain pada panel lima anggota hari ini adalah Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, Presiden parti KITA Datuk Zaid Ibrahim dan pensyarah pengajian media Universiti Malaya Prof Madya Abu Hassan Hasbullah.
Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyifatkan keputusan PRU13 adalah bergantung kepada keikhlasan kerajaan persekutuan melaksanakan cadangan pembaharuan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC).
"Kalau pada pilihan raya 1999 kita melihat pengundi Melayu menjadi penentu, manakala pada 2008 pula era di mana undi kaum Cina pula penentu kepada kebangkitan Pakatan Rakyat.
"Tetapi untuk PRU13 ini pula ia bergantung kepada Umno-BN, yang mana pada julung kalinya PSC menuntut agar ada perubahan pada sistem pilihanraya dan ini nyata kerajaan terpaksa mengakui bahawa selama ini jelas wujud kelemahan di dalam sistem pilihan raya di negara ini," jelasnya.
Kata Nurul Izzahlagi, rakyat sekarang sedang menunggu dan melihat adakah kerajaan Umno BN hari ini sanggup melakukan perubahan seperti mana yang dituntut oleh PCS.