Konvensyen tahunan DAP Pulau Pinang hari ini menjadi medan bagi Karpal Singh bagi membidas timbalan ketua menteri P Ramasamy berhubung kenyataan “godfather” atau “bapa angkatnya”.
Pada ucapannya di konvensyen itu, Karpal yang juga adalah pengerusi DAP menuntut Ramasamy untuk memohon maaf atas keceluparannya dan mendesak beliau menjaga akhlaknya serta menghormati sumbangan pemimpin veteran.
"Siapa yang bina DAP? Pemimpin veteran yang membina parti dan jangan sekali-kali lupa pengorbanan pemimpin-pemimpin ini.
"Parti ini tidak akan berada di kedudukan sekarang tanpa pengorbanan pemimpin-pemimpin veteran dan pemimpin-pemimpin hari ini tidak akan menjadi pemimpin tanpa pengorbanan mereka," katanya.
Karpal turut membidas Ramasamy kerana melabelkan dirinya sebagai 'godfather' atau 'bapa angkat'.
"Godfather menggambarkan imej kumpulan mafia, DAP tidak pernah bertoleransi dengan mafia," katanya.
Menurut Karpal tindakan Ramasamy menyertai parti itu dan cuba melakukannnya mengikut caranya sendiri adalah salah.
"Tiada siapa pun yang boleh menjadi panglima perang dalam DAP, termasuk Ramasamy dengan cuba menamakan nama calon-calon pilihannya," katanya.
Sebelum ini, Ramasamy yang juga ADUN Perai dilaporkan telah mengumumkan dalam satu majlis baru-baru ini bahawa beliau dan tiga calon wanita India bakal bertanding dalam pilihan raya umum ke-13.
Ramasamy telah berulang-kali menafikan dakawaan itu seperti yang disiarkan di akhbar berbahasa Tamil dan berkata beliau cuma menyatakan bahawa agihan kerusi adalah preregotif jawatankuasa pusat eksekutif DAP.