Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM perlu dipertanggung jawab pada Parlimen
Diterbitkan:  Dec 7, 2011 12:50 PM
Dikemaskini: 5:25 AM

Gerakan bersetuju dengan cadangan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dipertanggungjawabkan hanya kepada Parlimen, bukannya Jabatan Perdana Menteri.

NONE Naib presidennya, Datuk Mah Siew Keong berkata, cadangan Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah (SCC) itu "logik" kerana tujuan penubuhan SPRM adalah untuk membasmi rasuah dalam kerajaan dan sektor swasta.

Oleh itu, katanya, adalah logik bagi suruhanjaya itu dipisahkan daripada kerajaan untuk memastikan ianya benar-benar bebas.

"Ia tidak seharusnya diletakkan di bawah mana-mana jabatan, tetapi seharusnya benar-benar bebas tanpa sebarang kaitan dengan mana-mana jabatan kerajaan," kata Mah dalam satu kenyataan.

"Sebarang keraguan tentang konflik kepentingan dalam SPRM sudah memadai untuk menyebabkan kredibiliti suruhanjaya itu dipersoalkan, apatah lagi hasil siasatannya," tambahnya.

'Dakwa ikan besar'

Selain cadangan SCC itu, Transparency International Malaysia (TI-M) juga membuat kesimpulan bahawa usaha kerajaan persekutuan untuk membasmi rasuah, telah gagal menahan ranking negara daripada terus jatuh dalam indeks persepsi rasuah (CPI) global kerana kegagalan untuk bertindak terhadap "rasuah besar ".

TI-M telah mengemukakan lapan cadangan membanteras rasuah: mendakwa 'ikan besar'; memperkenalkan Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat; meningkatkan autonomi SPRM; meningkatkan rangka kerja perlindungan untuk pemberi maklumat; mengenakan hukuman yang lebih berat untuk kesalahan rasuah; melaksanakan sepenuhnya 'perjanjian integriti 'dalam perolehan; reformasi pembiayaan politik; dan melaksanakan reformasi pilihan raya yang disyorkan oleh Jawatankuasa Pilihan Parlimen.

Mah menambah, persepsi orang ramai adalah sangat penting untuk memastikan keberkesanan dan kebebasan SPRM.

Beliau menggesa kerajaan untuk melihat dengan lebih terperinci isu kebebasan SPRM kerana suruhanjaya itu merupakan salah satu badan terpenting untuk memerangi rasuah di negara ini.

"Jika SPRM tidak dapat berfungsi dengan sebaik-baiknya, maka ia akan menjadi halangan utama dalam usaha untuk memerangi rasuah," katanya.

Oleh itu, tambahnya, adalah logik bagi suruhanjaya itu dipisahkan daripada kerajaan untuk memastikan kebebasannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS