Seorang kolumnis hari ini menuntut penulis blog pro-Umno papagomo.com, Wan Muhammad Azri Wan Deris meminta maaf atas satu tulisan di laman berkenaan yang didakwa memfitnah dirinya.
Kolumnis berkenaan, Amin Iskandar berkata, kandungan tulisan bertajuk 'Amin Iskandar penulis the malaysian insider akui dicabul Anwar Ibrahim' itu tidak benar dan merupakan satu fitnah yang menjatuhkan nama baiknya.
“Saya difitnah oleh penulis blog tersebut yang menuduh saya dicabul oleh (ketua pembangkang, Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan blog tersebut telah memaparkan sebuah gambar saya dan sebuah gambar yang bukan saya,” laporan polis itu dipetik.
Laporan berkenaan merujuk kepada salah satu daripada gambar yang didakwa Wan Muhammad Azri dalam tulisan berkenaan sebagai "aksi cabul yang telah berjaya dirakam."
Foto yang disiarkan bersama tulisan bertarikh 26 November itu menunjukkan dua orang lelaki yang membelakangi kamera dan tidak memperlihatkan wajah kedua-duanya.
Nama samaran
Ketika ditanya, Amin berkata beliau telah memastikan bahawa Wan Muhammad Azri, 28, merupakan penulis yang berselindung di sebalik nama samaran Papagomo di laman tersebut.
Katanya lagi, beliau memastikan demikian melalui semakan dengan "sumber yang dipercayai."
Amin juga berharap polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia akan mengambil tindakan terhadap penulis seperti Wan Muhammad Azri “tanpa memilih bulu.”
“Penulis seperti ini sering kali melemparkan fitnah secara sesuka hati tanpa berani memperkenalkan identiti sebenar mereka dan berselindung di sebalik nama samaran.
“Diharapkan agar laporan polis yang akan disusuli dengan tindakan undang-undang selepas ini dapat membantu usaha membersihkan dunia penulisan blog dari unsur fitnah, lucah dan berniat jahat untuk memburuk-burukkan sesetengah pihak,” kata Amin lagi.
Sementara itu, peguam, Puspawati Rosman yang menemani Amin untuk membuat laporan di Balai Polis Travers berkata, tindakan hari ini merupakan langkah pertama ke atas Wan Muhammad Azri.
“Tuntutan utama adalah supaya penulis blog itu meminta maaf secara terbuka dan mengaku bahawa beliau telah berbohong dalam penulisan beliau.
“Sekiranya tuntutan mahkamah perlu dibuat supaya beliau mengaku, kita akan buat tuntutan mahkamah... Kita akan hantar surat tuntutan,” katanya lagi kepada pemberita selepas laporan polis itu dibuat.
Blog papagomo.com sebelum ini telah menyiarkan tulisan yang dipertikai banyak pihak, termasuk ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung dakwaan bahawa anak remaja Lim telah mencabul kehormatan rakan sekelas sehingga terpaksa berpindah sekolah.