Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pua: Pencemaran E coli susu KR1M diremehkan menteri
Diterbitkan:  Dec 4, 2011 1:36 PM
Dikemaskini: 9:09 AM

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai didakwa cuba meremehkan pengesahan kementeriannya bahawa  itu bahawa sampel susu segar dari Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) menang tercemar dengan bakteria E coli.

Ahli parlimen Petaling Jaya Utara,Tony Pua berkata Liow berbuat demikian pada sidang akhbar semalam dengan memberi penekanan bahawa 13 produk lain yang ditarik balik bukan kerana tidak selamat tetapi kerana salah label.

"Beliau dipetik dalam akhbar The Star sebagai berkata 'produk ditarik balik bukan kerana tidak mematuhi peraturan-peraturan makanan tetapi kerana pelabelan yang tidak lengkap, sambil menekankan bahawa ia bukan disebabkan oleh keselamatan makanan'.

"Malah, paling mengejutkan The Star langsung tidak menyebut penemuan E coli," kata Pua.

Penemuan E coli disahkan apabila Pua dan ahli parlimen Pantai Dalam Nurul Izzah Anwar mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai Kementerian Kesihatan pada hari Jumaat lalu berhubung aduan mereka terhadap 13 produk yang dipasarkan oleh KR1M.

Kedua-dua mereka, sebelum ini, menimbulkan kebimbangan berhubung kualiti dan kemungkinan produk berjenama 1Malaysia berkenaan melanggar Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Antaranya membabitkan susu segar, ais krim, susu sejat, krimer manis, minyak sapi, jem buah-buahan, sos tiram, sardin dalam tin dan kari ayam.

liow tiong lai pc on kr1m products 231111 04 Liow dilaporkan berkata Pua sepatutnya membawa perkara itu kepada perhatian kementerian dan bukan mendedahkannya di media kerana tindakan itu memberi peluang kepada pembekal untuk menarik balik produk-produk mereka dan menjejaskan siasatan kementeriannya.

Menjawap saranan itu, Pua berkata Liow sepatutnya mengeluarkan amaran keras atau bertindak ke atas pembekal susu dan menggesa orang ramai untuk mengembalikan produk KR1M yang telah ditarik balik itu.

"(Sebaliknya), menteri itu memilih untuk membidas saya kerana mendedahkan skandal produk makanan 1Malaysia.

"Menteri itu perlu sedar bahawa adalah menjadi tanggungjawab kementeriannya untuk menguatkuasakan keselamatan makanan dan standard kualiti produk yang dijual di kedai-kedai. Ini bukan tugas atau peranan ahli-ahli parlimen pembangkang," kata Pua.

NONE Menurut pemimpin DAP itu, hakikat bahawa KR1M telah menjual 14 produk berkenaan untuk selama  enam bulan yang lalu tanpa dikesan oleh kementerian itu membuktikan bahawa kerajaan telah gagal melaksanakan peranan mereka.

"Kalaulah tidak disebabkan pendedahan oleh ahli parlimen Pakatan Rakyat dan tekanan orang ramai, maka tiada tindakan akan diambil.

"Oleh itu Liow tidak sepatutnya cuba untuk meremehkan kejadian itu atau cuba untuk meletakkan kesalahan pada kami," katanya.

Bakteria E-coli boleh menghasilkan toksin yang menyebabkan cirit-birit dan dalam sesetengah kes menyebabkan kematian.

KR1M, ilham Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak,  bertujuan untuk menyediakan pengguna dengan alternatif bagi membeli barangan pada harga lebih rendah dengan tujuan mengurangkan kos hidup yang semakin menghimpit rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS