Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pada awal 1981 Anwar Ibrahim menggemparkan negara. Pemimpin belia yang dilihat paling dinamik dan berbakat mencorakkan lanskap politik Malaysia mengumumkan dirinya menyertai Umno.

Perisytiharan itu dibuat oleh Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad , Perdana Menteri keempat Malaysia yang baru sahaja menaiki takhta beberapa bulan sebelumnya.

anwar ibrahim interview 241104 denial Negara terkesima. Takjub. Bagaimana Anwar yang belum lagi sempat melangsaikan perjuangan memimpin lebih 60 persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ketika itu menentang pindaan Akta Pertubuhan yang dilihat mengongkong kebebasan berpersatuan boleh memilih menyertai parti kerajaan?

Maka pada sidang akhbar di Jabatan Perdana Menteri itu, wartawan tempatan dan antarabangsa bingkas bertanyakan prinsip perjuangan Anwar. Apakah sikapnya terhadap peraturan dan pelbagai akta yang mencengkam kebebasan dan hak rakyat seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) telah berubah?

Anwar menjawab ringkas tetapi tegas dan jelas : “Dulu kerajaan tidak mahu mendengar suara rakyat. Sebab itu, saya tentang. Tapi sekarang kerajaan (Dr Mahathir) lebih responsif terhadap tuntutan kita, maka kita harus bersikap lebih bertanggungjawab (responsible)”.

Bersorak Umno khasnya dan rakyat jelata amnya. Dr Mahathir pula meraih dividen politik yang amat besar dalam tempoh paling singkat memimpin Umno. Harimau muda dalam politik Malaysia itu berjaya dijinakkan dan rela bekerjasama dengannya.

anwar ibrahim breaking fast function 061006 ezam Umumnya, sambutan terhadap pemikiran politik itu mendapat respons positif. Bayangkan anak muda yang bersuara lantang dan pernah ditahan di bawah ISA selama 22 bulan itu tiba-tiba menyuluh harapan baharu bahawa Malaysia akan menjadi sebuah negara lebih demokratik.

Hal ini disifatkan agak menakjubkan kerana tidak lama sebelum itu, Angkatan Belia Islam (Abim) yang dipimpin oleh Anwar membuat keputusan membenarkan beberapa pemimpin kanannya untuk menyertai PAS demi mengukuhkan gerakan Islam menawarkan alternatif kepada politik sekular di Malaysia yang ditunjangi Umno.

Allahyarham Datuk Fadzil Noor, Datuk Nakhaie Ahmad dan Syed Ibrahim mendewasakan diri dalam arena politik dengan meninggalkan Abim untuk menyertai PAS. Datuk Fadzil Noor diterima baik oleh PAS hingga dilantik menjadi presiden parti itu akhirnya.

Nakhaie pula selepas meningkat kedudukan dalam PAS hingga menjadi naib presiden berpatah balik dengan menyertai Umno untuk menuruti jejak Anwar.

opposition boycott by-election 110107 anwar ibrahim Apa yang dapat diketengahkan di sini ialah pegangan dan prinsip politik Anwar. Oleh kerana ketika itu kata-kata “apabila kerajaan responsif maka rakyat harus bersikap bertanggungjawab (responsible)” keluar dari mulut seorang pemimpin muda maka ia menyimbahkan harapan baru untuk politik Malaysia.

Saingan Anwar dalam politik, terutama di kalangan Umno, amat berhati-hati dengan pemikiran politik yang bersih dan ikhlas Anwar itu. Enam bulan kemudian Anwar bertarung jawatan Ketua Pemuda Umno dan menang dengan majoriti 10 undi.

Kawan seperjuangan baik dalam Abim dan PAS kaget. Memang berkesan dan jelas pendirian politik Anwar hingga dihormati dalam Umno dan serangan terhadapnya pun mula mengendur. Kedudukan Anwar dalam Umno pun semakin kukuh hingga meningkat menjadi timbalan presidennya. Malah Anwar pun berpeluang memangku jawatan perdana menteri .

Namun agak mengecewakan apabila Anwar secara tidak terhormat terpaksa meninggalkan Umno, sikap bertanggungjawab beliau kerana meyakini kerajaan Mahathir yang responsif masih belum menjadi kenyataan. ISA tetap terus menghantui lanskap politik Malaysia.

najib special address malaysia day 150911 Lebih menyedihkan ialah apabila pada 15 September lalu Perdana Menteri keenam Malaysia, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan hari ini bersedia memansuhkan ISA (sesuatu yang tidak berlaku di zaman Mahathir yang berjaya melenturkan pegangan politik Anwar), bekas pemimpin Abim ini tidak lagi mahu bersikap bertanggungjawab (responsible) seperti yang dilafaz pada 1981.

Malah beliau mengatakan ia adalah gula-gula politik menjelang pilihanraya umum ke-13 yang di ambang mata. Anwar juga menganggap pengumuman Najib itu adalah tindakan terdesak kerana diasak oleh gerakan BERSIH 2.0. Soalnya, ke mana perginya sikap bertanggungjawab Anwar?

Adakah Anwar ini terlalu serik diperlakukan pelbagai rupa oleh Umno hingga sudah hilang kepercayaan terhadap konsep politik luhur bahawa jika kerajaan responsif  terhadap kehendak rakyat, maka rakyat pula (termasuk Anwar) perlu bertanggungjawab seperti yang dicanangkan 30 tahun lalu?  

azlan Begitu juga dengan Akta Polis yang dipinda dan mungkin diambil alih oleh Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011. Jika sebelum ini hanya polis berkuasa mutlak mengeluarkan permit berhimpun, kini  melalui Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman, permit polis tidak perlu lagi kecuali jika perhimpunan dilakukan di tempat yang dilarang.

Di samping itu, dalam usaha untuk menyalakan idealisme generasi pewaris kepimpinan negara terhadap sistem politik, Kerajaan hari ini sudah pun merintis jalan untuk membuat pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Ini dilakukan berikutan keputusan mahkamah bahawa AUKU bertentangan dengan semangat perlembagaan negara.

Sekali lagi kerajaan bersikap responsif, namun mengapa Anwar dan rakan-rakan Pakatan Rakyatnya masih tidak bersikap bertanggungjawab? Adakah ini boleh dianggap politik luhur? Jika dalam tempoh 30 tahun keluhuran dan keikhlasan kenyataan dan pernyataan politikus seperti Anwar boleh dikenalpasti berubah-rubah, bayangkan bagaimana nanti menghadapi Allah?

anwar ibrahim parliament pc on budget and najib 131008 05 Berlaku jujurlah. Janganlah menanamkan harapan pada rakyat bahawa keputusannya menyertai  Umno kerana percaya Dr Mahathir akan melupuskan  ISA dan melakukan pelbagai lagi untuk memperbaiki amalan demokrasi Malaysia pada 1981. Namun hakikatnya Anwar sendiri tahu bahawa bukan sahaja Dr Mahathir tidak mengotakan katanya malah Anwar sendiri ditendang keluar Umno.

Hari ini, Najib sudahpun mengorak langkah melakukan apa yang Mahathir dan Anwar sendiri tidak berani dan berupaya melakukan. Tunjukkanlah sikap bertanggungjawab itu, Anwar!


ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis/penyumbang dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.

Abdul Rahman Malik adalah bekas kakitangan awam dan kini cenderung memperjuangkan nasib politik orang-orang Melayu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS