Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perwakilan dalam mesyuarat agung Umno hari ini menuntut kerajaan memperuntukkan kerusi penting dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada anggota Umno.

Mengulangi seruan yang sama pada persidangan tahun lalu, mereka berpendapat tindakan itu akan memberikan manfaat kepada ekonomi orang Melayu.

"Apa gunanya GLC kalau tidak membantu parti dan orang Melayu dalam pentadbiran negara.

"Dalam perhimpunan ini pun saya nampak hanya Proton yang ambil bahagian. Mana yang lain?" soal wakil Puteri, Wan Salwati Abdullah ketika membahaskan ucapan dasar presiden.

Sementara itu, wakil Pahang, Datuk Rosni Zahari pula terus memanjangkankan isu itu dalam perbahasan seterusnya membincangkan usul ekonomi dalam persidangan itu di Kuala Lumpur.

"GLC patut laksanakan agenda membangunkan ekonomi Bumiputera. Adakah hari ini ia berlaku?

"Saya cadang ia diberi pada orang Umno dalam dewan ini kerana mereka faham dan akan memantapkan perjuangan Melayu," katanya.

Rosni berkata, setakat ini, penjawat jawatan penting seperti ketua pegawai eksekutif (CEO) yang bukan daripada Umno, gagal memahami perjuangan Melayu.

Sementara itu, wakil Sabah Datuk Hasnol Ayub pula membuka bicara dengan mengkritik perancangan bersama ekonomi Pakatan Rakyat seperti termaktup dalam Buku Jingga.

"Apa guna buat buku warna-warni, merah, jingga, hijau kalau tidak mendatangkan hasil kepada masyarakat dan perjuangan Melayu," sindirnya sambil menyifatkannya sebagai tindakan populis.

Mohd Hasnol berkata, janji-janji Pakatan itu amat berbeza dengan pelbagai program tranformasi yang dilaksanakan kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS