Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nga mohon maaf gelar Zambry 'hitam metalik'
Diterbitkan:  Nov 30, 2011 3:31 PM
Dikemaskini: 7:39 AM

Setiausaha DAP Perak Nga Kor Ming hari ini memohon maaf kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir kerana menggelarkannya "hitam metalik".

    

"Kepada semua pihak yang tersinggung dengan kenyataan saya itu termasuk Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, saya ingin memohon maaf," katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Bernama .

    

Nga, yang juga ahli parlimen Taiping dan ADUN Pantai Remis, dilaporkan berkata demikian dalam satu ceramah di Perak pada 9 November lepas.

    

Kenyataannya itu dibidas pelbagai pihak termasuk ahli politik dan badan-badan bukan kerajaan yang menganggap ianya berbaur perkauman dan menghina mereka yang berkulit hitam.

    

NONE Dalam kenyataannya itu, Nga bagaimanapun berkata, petikan  mengenai "hitam metalik" itu telah disalah tafsir kerana beliau hanya merujuk kepada pengambilanalih kerajaan negeri Perak oleh Zambry dan BN yang dianggapnya tidak sah.

    

"Secara peribadi, saya tidak membenci Zambry. Saya anggap semua rakyat Malaysia sebagai saudara," katanya.

Sementara itu, Bernama turut melaporkan Pertubuhan Kebajikan Wawasan Kesejahteraan Insan (Wawasan) berkata, Nga tidak seharusnya dicalonkan semula oleh parti itu bertanding dalam pilihan raya umum akan datang setelah didakwa membuat kenyataan menghina menteri besar.

Malah, Wawasan meminta Nga meletak jawatan serta-merta daripada DAP jika beliau tidak mahu melibatkan parti itu dalam isu yang dianggapnya berbaur perkauman.

    

Presiden Wawasan, Fauzi Muda, berkata keceluparan dan sikap perkauman Nga tidak boleh dimaafkan kerana beliau menjatuhkan martabat seseorang yang berkulit hitam.

    

"Ini bermakna kaum India dan Melayu yang berkulit hitam dipandang rendah dan terlalu hina di mata DAP," katanya sebelum menyerahkan memorandum yang membantah kenyataan Nga itu kepada seorang wakil DAP di Ibu Pejabat DAP Perak hari ini.

    

Fauzi meminta Nga memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat yang berkulit hitam berhubung kenyataannya itu yang dilaporkan dibuat pada 9 September lepas.

    


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS