Sos tiram jenama 1Malaysia yang ditarik dari Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) kerana didakwa melanggar Akta Peraturan-peraturan Makanan 1985 adalah hanya gimik pembangkang semata-mata, dakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik oleh Utusan Online sebagai berkata, masalah itu timbul berikutan masalah penglabelan dan bukan seperti yang didakwa oleh ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.
Pada 23 November lalu, Kementerian Kesihatan mengarahkan semua sos tiram jenama 1Malaysia itu ditarik balik kerana melanggar Akta Peraturan-peraturan Makanan 1985.
Menurut menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, ujian makmal oleh Jabatan Kesihatan mendapati sos tiram 1Malaysia yang dijual di kedai-kedai KR1M di seluruh negara, mencatatkan kandungan protein yang rendah daripada keperluan yang disyaratkan oleh undang-undang.
Bagaimanapun Ismail Sabri hari ini dipetik akhbar milik Umno itu, bahawa dakwaan berkenaan adalah tidak benar.
Menurutnya, kesilapan berlaku kerana sos tersebut seharusnya dilabel sebagai sos perasa tiram dan bukannya sos tiram kerana bahan bahan yang digunakan adalah dari ekstrak tiram.
Sos tiram itu adalah satu daripada tujuh barangan yang didakwa oleh ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, mencabuli Akta Peraturan-peraturan Makanan 1985.