Gamat seketika politik Malaysia apabila ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Akin, Jumaat lalu mencabar Umno membuktikan bahawa ia adalah benar-benar gerakan yang sentiasa memperjuangkan kepentingan Melayu.
Katanya, cara terbaik bagi Umno berbuat demikian ialah dengan mengambil inisiatif meminda perlembagaan negara supaya termaktub bahawasanya hanya orang Melayu-Islam sahaja yang boleh diangkat menjadi Perdana Menteri.
Biasan kenyataannya ialah, jika Ketua Pemerintah Negara adalah orang Melayu maka terlindunglah kepentingan Melayu. Kredit itu untuk Umno.
Cabaran Shamsul ini segera mencetuskan reaksi dari pelbagai pihak.
Di halaman-halaman web banyak komentar yang dilambakkan berhubung kenyataan Shamsul itu. Namun yang agak kurang enak ialah apabila Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke mengkritik Shamsul kerana cabarannya itu seolah-olah “menggoda” Umno supaya membuat pindaan perlembagaan itu.
Sedikit mengejutkan ialah Loke menganggap kenyataan Shamsul itu berbau rasis. Hal ini secara langsung atau tidak disokong oleh setiausaha Pemuda MCA, Datuk Chai Kim Sen yang juga menyifatkan pandangan Shamsul itu sebagai perkauman.
Mujur Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim segera campurtangan supaya isu cadangan Shamsul itu tidak merebak menjadi masalah besar bagi PKR yang sedang berkongres di Johor, negeri yang sedang diintai untuk ditawan dalam pilihanraya umum akan datang.
Anwar menolak kemungkinan PKR dan Pakatan Rakyat akan menyokong cadangan Umno (jika berani menyahut cabaran Shamsul) untuk meminda Perlembagaan demi menetapkan hanya orang Melayu sahaja boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia. Ini kerana, katanya, itu bukan pendirian PKR mahupun Pakatan Rakyat.
Persoalannya ialah, jika benar demikian mengapa Shamsul diizinkan berucap di luar lingkaran politik PKR dan Pakatan Rakyat? Tidakkah patut Shamsul dikenakan tindakan disiplin kerana tidak mengikut rukun perjuangan parti dan Pakatan itu?
Tindakan Anwar seolah-olah memberi ruang kepada Shamsul untuk bernafas lega tampil di hujung kongres PKR untuk memperjelaskan kenyataannya itu adalah digali daripada novel sejarah Cina “Romance of the Three Kingodom” yang mengisahkan kebijaksanaan pakar strategi bernama Sima Yi mengatur keturunannya menjadi Raja Cina.
Apapun, yang dapat dilihat ialah betapa masih rapuhnya pemikiran politik pemimpin pelapis dalam Pakatan Rakyat. Nampaknya halatuju dan dasar perjuangan gabungan itu masih belum benar-benar terhunjam dalam saf pemimpin mudanya.
Namun ia menyerlahkan beberapa perkara penting dalam usaha menjenguk ke masa depan politik Malaysia. Antaranya:
1. DAP sebagai parti yang pada dasarnya memperjuangkan kepentingan rakyat keturunan Cina dalam Pakatan Rakyat amat sensitif jika perlembagaan negara dipinda dan peluang untuk keturunan selain Melayu untuk menjadi perdana menteri akan tertutup.
2. MCA, kerabat BN, yang juga mewakili kepentingan Cina Malaysia pun sensitif jika cabaran Shamsul Iskandar itu disahut oleh Umno dan sekaligus membuat pindaan terhadap perlembagaan negara untuk menghadkan jawatan perdana menteri kepada Melayu sahaja.
3. Ini membuktikan baik DAP mahupun MCA memang menyimpan hasrat satu hari nanti akan ada rakyat Malaysia keturunan Cina yang menjadi perdana menteri Malaysia.
4. Membayangkan betapa pemimpin DAP (Anthony Loke) mahupun pemimpin MCA ( Chai Kim Sen) sendiri tidak membaca novel sejarah Cina “Romance of the three kingdoms” di mana Shamsul memungut strategi Sima Yi yang mendahului zamannya dan mengatur keturunannya menjadi Raja di China.
5. Ia juga membayangkan betapa curiganya baik DAP mahupun MCA terhadap kerabat politik Melayu masing-masing. Ia juga mengisyaratkan betapa soal politik perkauman belum benar-benar dapat ditangani secara tuntas baik oleh Pakatan Rakyat mahupun BN.
Ini jelas menunjukkan betapa DAP bukan sahaja tidak cukup yakin akan politik orang Melayu dalam Pakatan Rakyat. Malah ia mengingatkan kita tentang betapa khuatirnya DAP akan hasrat PAS mahu melaksanakan hukum hudud di negeri-negeri yang ditadbirnya.
MCA pula masih ragu akan permainan politik Umno. MCA maklum bahawa oleh kerana desakan untuk menawan hati majoriti Melayu supaya menyokongnya dalam pilihanraya umum akan datang, Umno “terpaksa” memujuk dan meredakan keresahan orang Melayu.
Satu contoh yang dapat dilihatnya ialah, Kerajaan pimpinan Umno sudahpun memberi perakuan ia akan menamatkan skim Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Maka MCA sekonyong-konyong menjadi begitu resah jika atas alasan menyahut cabaran Shamsul supaya membuktikan ia benar-benar sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu, Umno akan benar-benar bergerak untuk mengusulkan Perlembagaan dipinda demi menetapkan jawatan perdana menteri hanya dihadkan kepada orang Melayu.
Lebih menggusarkan ialah trend ini akan membawa kepada beberapa kemungkinan baharu dalam politik Malaysia. Antara lain usul Shamsul itu secara tidak langsung memancarkan kemungkinan:
1. Harapan melihat akan lahir sistem politik dua parti – Pakatan Rakyat lawan BN – mungkin sukar untuk menjadi satu kenyataan.
Bersandarkan reaksi spontan yang ditunjukkan parti-parti berkepentingan Cina dalam Pakatan Rakyat dan BN, ia membayangkan kadar saling percaya di antara kerabat kedua-dua pola politik ini memang belum cukup ampuh dan kental untuk menelurkan sistem dua parti di Malaysia.
2. Jika tidak ada usaha telus dan sungguh-sungguh dilakukan oleh pimpinan kedua-dua gabungan politik itu, status quo politik di Malaysia akan kekal.
Ini bererti dari masa ke semasa akan ada sahaja pihak yang “keluar dari jemaah masing-masing kerana merasakan kepentingannya tidak berapa diendahkan” oleh kerabat lebih besar dalam gabungan mereka.
3. Lantaran kecurigaan bersabit soal kepentingan kaum yang sentiasa bersarang dalam BN dan PR, ada kemungkinan sistem dua parti masih boleh menjadi kenyataan tetapi dibelah bahagi oleh kepentingan kaum.
Jika DAP yang kini menimang-nimang kemungkinan ia akan menang besar dalam pilihanraya umum akan datang kerana ditaja dan disokong oleh pengundi bukan Melayu dan juga Melayu PKR dan PAS yang sudah cukup muak dengan gelagat Umno yang memonopoli kuasa politik selama ini, dan mula menghulurkan tangan kepada parti-parti bukan Melayu dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak atas nama kepentingan bukan Melayu, ia mungkin boleh mengumpul bilangan kerusi yang cukup untuk menubuhkan kerajaan bukan Melayu.
Sesungguhnya ini bukan mustahil kerana selain isu perkauman, penggabungan kepentingan beragama juga boleh menjadi pengikat hubungan di antara DAP, MCA, SUPP, PBS dan banyak lagi.
Isu kitab bible dalam bahasa Malaysia; penghakiman berhubung murtad dan tukar agama Islam-Kristian-Hindu; kalimah Allah dalam amalan penganut Kristian boleh sahaja jadi pemangkin gerakan politik seumpama ini.
Berdasarkan kenyataan dan ketegasan Shamsul sendiri yang tidak mahu menyokong Umno jika cabaran yang dilontarkannya disahut oleh Umno, adalah bukti persaingan, permusuhan dan kebencian di antara parti-parti dan pemimpin utama Melayu masih sengit dan getir. Masing-masing mahu berkuasa sendiri.
Buat masa ini semua pihak Melayu yang bertikai berharap rakan dan taulan politik dalam gabungan masing-masing akan terus cuba mengekalkan setiakawan politik. Namun dalam politik “tiada rakan yang kekal dan musuh dan abadi”.
DAP, MCA, Gerakan dan parti-parti Cina mungkin berkira mereka tidak boleh meletakkan kepentingan masa depan mereka pada ahli politik Melayu selamanya. Ketika mereka sibuk kecam mengecam, fitnah memfitnah dan benci membenci, perimbangan politik Malaysia boleh bertukar dalam sekelip mata.
Bagaimana dan apa pula kata PERKASA?
ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis/penyumbang dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.
Abdul Rahman Malik adalah bekas kakitangan awam dan kini cenderung memperjuangkan nasib politik orang-orang Melayu.