Seramai 290 pembeli rumah dalam proses untuk dimufliskan pihak bank setelah gagal membayar pinjaman pembelian rumah yang terbengkalai.
Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Tunku Azwil Tunku Abd Razak berkata seramai 19 pembeli rumah telah dimufliskan oleh pihak bank atas sebab sama.
"Dua angka ini merupakan mereka yang membuat aduan kepada PPIM namun, kami percaya ramai lagi yang menjadi mangsa. PPIM akan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membantu mereka.
"PPIM akan menggunakan segala saluran dan tindakan undang-undang yang ada untuk membantu mangsa ini mendapatkan keadilan," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.
Beliau berkata antara lain PPIM akan membawa perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk siasatan.
"Kami dapati kes-kes ini mengandungi unsur-unsur penipuan yang menindas mereka yang tidak bersalah," katanya.
Sementara itu, Ahmad Zaki, 43, yang menjadi mangsa projek perumahan terbengkalai di Klang, berkata projek itu dibangunkan pada 1999 tetapi dihentikan sejak 2001.
"Saya terpaksa membayar balik pinjaman sebanyak RM93,000 kepada pihak bank walaupun rumah yang dijanjikan baru dinaikkan satu tiang. Status projek berhampiran Pulau Indah itu juga tiada dalam rekod Majlis Perbandaran Klang," katanya.
Selain itu, mangsa penipuan pinjaman kenderaan, yang telah disenaraihitamkan pihak bank, juga meminta bantuan PPIM untuk menyelesaikan kes mereka.
Zilah Mahmood, 34, berkata pihak bank menghantar penyata bank sebagai bukti pinjaman yang kononnya dibuat olehnya dengan jaminan isterinya, sedangkan pada ketika itu dia belum berkahwin dan tidak mengenali penjamin itu.
"Saya terkejut kerana pendapatan bulanan saya tidak mencecah RM1,000 pun sebulan, mana mungkin saya mampu untuk memiliki kenderaan sendiri, inikan pula dua buah kereta sekaligus," katanya.
Zameri Zakeria, 47, turut mengalami situasi sama apabila namanya disenaraihitamkan pada 1997 setelah didakwa berhutang RM29,136 untuk 48 ansuran bulanan bagi kenderaan Proton Saga, yang tidak pernah dimilikinya.
"Nama saya tertulis di atas penyata bank dikeluarkan, tetapi tanda tangan itu bukan milik saya. Saya telah membuat pengesahan di Jabatan Forensik, dan hasil pengesahan jabatan membuktikan tanda tangan itu bukan milik saya," katanya.
- Bernama