Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin tindakan polis yang menjalankan siasatan ke atas dirinya atas dakwaan membuat laporan palsu berhubung tayangan video seks oleh 'Datuk T', semata-mata untuk memastikan dirinya sibuk.
Anwar, yang sedang menghadapi perbicaraan pertuduhan liwat, berkata demikian ketika ditanya sama ada siasatan baru oleh polis itu bagi menghadapi kemungkinan beliau dibebaskan oleh mahkamah.
"Bebas atau tidak, mereka akan terus siasat saya, hanya untuk pastikan saya sentiasa sibuk.
"Saya juga tidak akan terkejut jika mereka tampil dengan pertuduhan baru," kata Anwar yang juga adalah ketua umum PKR.
Turut serta pada sidang media itu adalah setiausaha agung PAS, Datuk Mustafa Ali, penasihat DAP Lim Kit Siang dan beberapa pimpinan kanan parti masing-masing.
Siasatan ke atas Anwar dibuka selepas pegawai penyiasat kes 'Datuk T', DSP Shanmugan Moorthy membuat laporan polis bahawa Anwar telah secara disedarinya memberikannya maklumat palsu, suatu kesalahan mengikut Seksyen 182 Kanun Jenayah.
Laporan yang dibuat Anwar pada Mac lalu adalah berhubung tindakan trio "Datuk T" yang menayangkan satu rakaman video seks kepada petugas media dan individu berkepentingan di satu hotel mewah.
Tiga individu berkenaan – bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik; ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah serta bekas bendahari PERKASA Datuk Shuib Lazim – didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur tiga bulan kemudian atas kesalahan menayangkan video seks lelaki mirip Anwar itu.
Sementara itu, Anwar juga berkata bagi memupuk jalinan erat antara rakyat dan pemimpin Pakatan Rakyat satu Himpunan Rapat Umum Pakatan akan diadakan pada 4 Disember nanti di Stadium Melawati Shah Alam.
"Kita akan lancarkan satu program pada 4 Disember oleh pimpinan Pakatan Rakyat di Stadium Melawati," katanya.
Naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar pula menjelaskan program berkenaan bertujuan mewujudkan suasana mesra rakyat dengan pemimpin Pakatan.
"Selain himpunan tersebut kita juga telah berbincang dengan Sekteriat Pakatan Rakyat agar menyusun jadual di setiap peringkat negeri untuk kita membawa pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat turun ke bawah," katanya.
Menurut Mahfuz, himpunan berkenaan bukan sahaja membabitkan ceramah-ceramah umum tetapi juga mendekati rakyat secara langsung untuk mengetahui masalah yang dihadapi oleh mereka di seluruh negara.