Umat Islam yang menunaikan solat Jumaat di beberapa masjid di Seberang Perai minggu lalu terkejut apabila mendapati salinan rakaman video seks yang didakwa membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diedarkan di tempat-tempat strategik menuju ke masjid-masjid berkenaan.
Pengerusi masjid Guar Perahu Abu Bakar Dakilani Abu Hassan, berkata kira-kira 50 salinan pita seks itu ditemui di sekurang-kurangnya lapan masjid.
Katanya, VCD, dengan penutup hijau itu, diletakkan di pintu masuk ke masjid, tetapi tiada sesiapa yang dapat mengenal pasti mereka yang meletakkan pita tersebut di sana.
Beliau berkata ramai jemaah mengambil VCD itu kerana tertipu dengan perkataan ‘Wasiat Tok Guru dan Saksikan’ yang tertera pada VCD. Mereka menyangkakan bahawa ia merujuk kepada amanat oleh Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat.
"Tetapi mereka terkejut besar apabila memainkan pita itu di rumah dan mendapati bahawa ia adalah video seks yang didakwa melibatkan Anwar (sedang mengadakan hubung seksual) dengan seorang wanita," katanya kepada Malaysiakini.
Sehubungan dengan pengedaran video itu, kira-kira 100 orang mengadakan perhimpunan membantah tindakan berkenaan.
Perhimpunan selama kira-kira 30 minit itu diadakan di luar masjid Guar Perahu, petang semalam.
Abu Bakar berkata tunjuk perasaan itu adalah untuk menunjukkan bagaimana umat Islam berang dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab mengedarkan video lucah itu di kawasan masjid.
"Kami mahu beri mesej jelas bahawa mereka yang edarkan VCD ini melakukan tindakan yang memalukan serta tidak bermoral,” katanya.
Menurut Abu Bakar, dua lagi pengerusi masjid dari Sugai Lembu dan Kubang Semang juga membuat laporan polis di balai Kubang Semang selepas bantahan itu.
"Kami mahu polis siasat dengan serius dan tangkap mereka yang bertanggungjawab mencemarkan nama baik masjid kita,” katanya lagi.
Video seks itu menimbulkan kontroversi apabila ia didedahkan pada bulan Mac lalu. Anwar juga telah menafikan beliau adalah lelaki dalam video berkenaan.
Video itu pertama kali ditayangkan kepada beberapa wartawan oleh sekumpulan tiga individu yang menamakan diri mereka sebagai 'Datuk T'. Mereka adalah bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim.
Ketiga-tiga individu itu kemudiannya didakwa di mahkamah majistret Kuala Lumpur pada bulan Jun dan dikenakan hukuman denda RM5,500.
Namun demikian, ini tidak menghalang beberapa versi lain video seks itu daripada terus disebarkan menerusi Internet.
Anwar, yang berulang-kali menafikan pembabitannya dalam video itu juga telah membuat laporan polis dan kini disiasat oleh polis atas dakwaan memberi "maklumat palsu".