Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mencabar Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) di mahkamah menyifatkan penahanannya oleh polis semasa pilihan raya kecil tahun lalu umpama aksi drama Tamil.

NONE Hilman Idham - kini pembantu kepada Timbalan Presiden PKR Azmin Ali - berkata, ketika insiden di Hulu Selangor itu, kira-kira sepuluh individu yang tidak dikenalinya, tiba-tiba tampil mencekupnya sewaktu ingin beredar dari sebuah kedai makan.

Menceritakan detik itu, Hilman berkata, beliau sedang beredar bagi mencari jalan membantu dua lagi rakannya - Ismail Aminuddin dan Woon King Chai - yang sudah ditahan polis semasa  sekatan jalan raya.

"Ini cerita macam drama tamil. Di kedai makan tu, tengah saya minum, Ismail SMS saya beritahu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dah datang. (Dia kata) macam mana ni. Ismail dah (risau). Saya kata, tak apalah, saya cari jalan macam mana nak tolong. Saya telefon peguam untuk bantu.   

"Bila saya bangun dari tempat itu, kedai makan ini penuh (dengan pelanggan). Saya ini sudah pesan makanan. Air dah sampai, makan belum. Saya kata, tak boleh ini, kawan-kawan sudah kena tangkap ni, kita cari jalan macam mana nak bantu.   

"(Saya cakap) kita keluar daripada situ sekarang. Kita batal (pesanan) makan, saya habiskan minuman saya, separuh sahaja. Saya bangun. Bila saya bangun, satu kedai, bangun tangkap saya. Saya rasa dalam lingkungan 10 hingga 12 orang," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini .

Ditahan kali kedua

Selepas dibebaskan dengan jaminan, Hilman berkata beliau mengarahkan tiga lagi rakannya pulang sebelum beliau datang semula mengambil van pada keesokkan hari.

NONE Namun, pada keesokannya, Hilman sekali lagi ditahan buat kali kedua. Ia berlaku sewaktu beliau dalam perjalanan pulang bersama pensyarahnya yang mahu membuat analisis pilihan raya itu.

Tindakan itu, dakwanya mencetuskan kemarahannya kerana undang-undang dan perlembagan negara  menjamin hak individu untuk berada di mana sahaja.

Susulan ditahan, mereka dihadapkan ke mahkamah universiti kerana didakwa berkempen semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Bagaimanapun selepas beberapa kali penangguhan prosiding, mahkamah universiti akhirnya memutuskan mereka tidak bersalah dan dibebaskan pada Julai lalu.

NONE Sementara Woon - kini bergiat sebagai pembantu kepada anggota parlimen MCA - yang hadir bersama Hilman turut ketawa mendengar semula kisah penahanan rakannya itu pada 22 April tahun lalu itu.

Menyambung kisahnya, Hilman berkata, ketika itu bukan sahaja beliau mahu menemui dua rakannya yang ditahan, tetapi pegawai KPT juga mencarinya sejurus sahaja turun daripada kereta.

"Hah, (pegawai KPT bertanya) mana Hilman? (Saya soal kembali) Hilman? (Saya) tak tahu," celah Woon sambil memberitahu pegawai itu tidak percaya dengan jawapan itu.

Hilman mengandaikan mungkin terdapat operasi bersepadu Hal Ehwal Pelajar (HEP) semua universiti bagi memantau pelajar di sana.

Ini kerana, tambahnya, sebuah kereta Wira berwarna hitam tertulis "bahagian keselamatan Universiti Malaya" (UM) dilihat di kawasan berdekatan.

Sekatan polis

Bagi Woon pula, beliau tidak menjangkakan kali pertama menjejakkan kaki di Hulu Selangor dengan van sewa akan menyebabkannya ditahan polis.

hulu selangor by election bottle throwing incident 170410 03 "(Oleh) kerana kami bertiga tidak tahu tempat, tak tahu nak pergi mana. Hilman pun ajak seorang kawan dia untuk menjadi tukang tunjuk (jalan). Selepas (kami) datang dengan van, dia datang dengan kereta dia, penuh dengan risalah politik, sebab pemuda ini dah duduk lama di sana (untuk) berkempen.

"Jadi, kita minta Hilman dengan Azlin, pergi ke kereta dia. Takkan kita berempat nak ikut daripada belakang, tak sopanlah. Jadi, dia pun pindahkah risalah yang berbalut ke dalam belakang van kami. Dan Hilman dan Azlin tumpanglah kereta dia. Dia pun jalan.

"Jalan, jalan, sampai kepada sekatan polis, kereta dia lepas, van kami ditahan. Jadi, polis pun tanyalah, mana kad matriks. Dan kami pun tanya (balik), kad matriks apa? Tak ada, mana ada. Lepas tu kami pun bekerjasama dengan polis. Dia (polis) pun ambil kad pengenalan kami, ambil maklumat lengkap. Dia (polis) tahan kami lama, di tepi jalan," katanya.

NONE Menurut Woon lagi, selepas 40 minit ditahan, pegawai UKM yang datang dengan beberapa buah kereta - didakwa bersama  penolong pendaftar dan dan pegawai keselamatan - muncul dan mahu mereka ditahan kerana pelajar universiti "tak patut berada di situ".

"Jadi polis pun tengoklah, OK.  Dia pun kata, dia nak tengok van. Dia pun buka van, periksa  beg kami (dan) jumpa risalah. Dia kata, kenapa ada risalah politik  ini. Kamu datang berkempen ke? Kami kata tidak, ini bukan benda kami.   

"Lepas tu, langsung saya hubungi kawan kami yang datang buat tunjuk (arah), untuk sahkah benda (risalah) ini dia punya. Dia tumpangkan sahaja," katanya sambil menambah mereka kemudiannya dibawa ke balai polis selepas berbincang dan mengambil gambar.

Susulan itu, Woon menghubungi peguam Latheefa Koya untuk mendapat nasihat sehingga mereka menyedari bahawa penahanan mereka atas alasan tidak menyerahkan kad pengenalan.

VIDEO | 11.48 min


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS