Harga saham Harvest Court Industries Bhd, syarikat balak yang kurang diketahui sebelum ini, melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh sebelas tahun selepas anak kedua perdana menteri Mohd Nazifuddin Najib dilantik sebagai ahli lembaga pengarah syarikat itu, bulan lalu.
Harga sahamnya mencecah RM2.14 kira-kira jam empat petang tadi, atau lebih 2,575 peratus daripada 8 sen yang dicatatkan bulan lalu.
Harga itu kemudiannya ditutup pada RM2.13. Ia adalah rekod lonjakan 48 sen atau sehingga 29 peratus sejak semalam.
The Edge Financial Daily dalam laporannya bertarikh 8 November lalu berkata Nazifuddin dan rakan perniagaannya Raymond Chan dilantik antara pengarah Harvest Court Industries pada 28 Oktober.
Nazifuddin juga dilaporkan membeli dua hingga tiga juta saham dalam syarikat itu - sehingga 1.7 peratus pada 4 November, manakala Chan pula dikatakan mempunyai kepentingan sebanyak 13.83 peratus.
Sejak itu, harga saham syarikat itu terus melonjak dan melepasi tahap harga RM1 dan kekal dalam senarai jumlah dagangan tertinggi untuk beberapa hari.
Nazifuddin, 28,adalah anak kedua Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan isteri pertamanya, Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar. Pasangan itu bercerai pada 1987 dan Najib kemudiannya berkahwin dengan isterinya sekarang, Datin Seri Rosmah Mansor.
Chan, ahli perniagaan yang aktif di Sabah, memiliki saham yang kukuh dalam Sagajuta (Sabah) Sdn Bhd, yang membangunkan 1Borneo Mall di Kota Kinabalu.
Nazifuddin merupakan pengerusi Sagajuta.
[Baca berita penuh]