Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerja 9 jam: Guru bukan tikus putih
Diterbitkan:  Nov 14, 2011 12:24 PM
Dikemaskini: 7:31 AM

Pemuda PAS mendesak kerajaan membatalkan projek perintis sistem waktu bekerja sembilan jam bagi guru sekolah kerana ia didakwa "tidak wajar" dan "tidak munasabah".

Ketua penerangannya Riduan Mohd Nor berkata, langkah itu bukan sahaja membazir, malah guru juga tidak boleh dijadikan "tikus makmal" dalam sistem pendidikan negara.

"Bahkan, banyak perkara berlaku dalam alam perguruan di luar daripada silibus pembelajaran (kendalian) mereka, justeru mengapa mereka perlu dibebankan dengan kajian perintis seperti ini?" kata Riduan.

Warga pendidik juga, tambah Riduan, terpaksa hadir ke program kokurikulum, sukan tahunan, aktiviti riadah di luar darjah, lawatan sambil belajar dan kursus wajib yang mesti diikuti.

"Bagaimana pula kerajaan boleh melahirkan murid yang cemerlang jika guru yang mengajar pelajar sering letih, lesu dan hilang semangat kerana perlu memenuhi masa bekerja seperti tenaga profesional yang lain?" soalnya.

Dalam kenyataannya hari ini, Riduan juga berkata, suasana pengajaran dan pembelajaran di sekolah menyebabkan banyak perkara memerlukan inisiatif sendiri kumpulan itu, termasuk mengeluarkan duit kocek sendiri.

PAS Sarawak cadang ikut masa pekerja biasa

wee ka siong Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong kelmarin dilaporkan berharap guru di empat negeri terlibat - Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak - tidak risau kerana kerajaan hanya membuat percubaan.

Sambil menegaskan ia bukan kata putus, Wee berkata, apabila projek rintis itu meyakinkan dan kesimpulan konkrit dibuat, barulah ia akan diperluas ke seluruh negara.

Projek yang akan dilaksanakan mulai Januari depan di empat negeri terbabit berasaskan kajian di Melaka Tengah yang mengenalpasti tempoh bekerja yang ideal bagi guru.

sarawak pas deputy commissioner iii jofri jaraiee Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee ( kanan ) berkata, lebih baik kerajaan melaksanakan sistem waktu kerja guru seperti pekerja biasa antara jam 8 pagi hingga 5 petang, dengan lima hari bekerja dan dua hari cuti.

Katanya, melalui sistem itu, tugas harian boleh diselesaikan di pejabat dan pelajar juga boleh terus menyelesaikan tugasan harian di sekolah tanpa perlu dibawa balik ke rumah.

"Bagaimanapun, ini adalah tugas Kementerian Pelajaran untuk membuat kajian sepenuhnya agar semua pihak berpuas hati terhadap sebarang cadangan yang telah dikemukakan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS