Ramai rakyat Malaysia gemar makan daging lembu. Walau bagaimanapun, bekalan yang tidak mencukupi dan harga daging lembu import yang tinggi menjadikan keluhan panjang rakyat negara ini.
Justeru, kata Sandra Rajoo dari badan pemikir bebas Pusat Penyelidikan Untuk Kemajuan Masyarakat (REFSA), ramai yang menarik nafas lega apabila kerajaan mengumumkan projek menternak lembu kelolaan Pusat Feedlot Kebangsaan (NFC) pada tahun 2008.
Namun, merujuk pendedahan yang dibuat dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 dan beberapa laporan media, Sandra berkata projek usahasama antara kerajaan Negeri Sembilan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menghasilkan daging lembu tempatan dan mengurangkan import cukup mengecewakan.
Projek itu sepatutnya menghasilkan 8,000 ekor lembu pada tahun 2010 yang cukup untuk memenuhi keperluan 40 peratus pengeluaran daging lembu dalam negara.
"Jadi, projek ini bermula dengan peruntukan RM74 juta di atas tanah seluas 5,000 ekar di Gemas,” katanya.
Walau bagaimanapun, salah urus dan ketidakcekapan yang tiada berkesudahan menyaksikan hanya terdapat 3,289 lembu yang berkeliaran di ladang yang tidak diuruskan dengan baik itu.
"Daging lembu NFC ini, ironinya dinamakan 'Gemas Gold' bernilai pada harga RM184 sekilogram, lembu-lembu NFC adalah kononnya dalam kelas daging lembu Wagyu yang menjadi legenda dan amat diminati ramai.
“Seekor lembu Wagyu boleh dijual antara RM30,000 hingga RM60,000. Lembu ‘Gemas Gold’ berdasarkan wang yang dibelanja itu pula bernilai RM55,000 seekor pada 31 Julai,” kata Sandra.