Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ADUN BN persoal ahli majlis dalam JK tender, sebut harga
Diterbitkan:  Nov 10, 2011 1:33 PM
Dikemaskini: 5:35 AM

Seorang penyokong BN mempersoalkan langkah kerajaan pakatan Selangor meletakkan anggota majlis dari kalangan wakil parti politik dalam jawatankuasa tender dan sebut harga pihak berkuasa tempatan (PBT).

    

Sambil mempersoalkan ketelusan kerajaan negeri itu, Datuk Mohd Isa Abu Kasim (BN-Batang Kali) berkata ini kerana tindakan tersebut dilihat menimbulkan banyak keraguan termasuklah kemungkinan wujudnya campurtangan politik terhadap keputusan PBT dalam menetapkan sebut harga atau tender sesuatu projek pembangunan dan sebagainya.  

    

"Saya masih ingat sebelum ini kerajaan negeri mengatakan mahu mengamalkan ketelusan dalam pentadbiran termasuklah di peringkat PBT.

    

"Akan tetapi, apa perlunya anggota majlis daripada wakil parti politik (DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas) duduk dalam jawatankuasa tender dan sebut harga PBT," katanya.

Mohd Isa membangkitkan perkara itu  dalam soalan tambahan kepada Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri Ronnie Liu mengenai dakwaan wujudnya pilih kasih dalam pentadbiran PBT di negeri itu, di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

    

Mengulas lanjut, Mohd Isa berkata dasar kerajaan negeri yang meletakkan anggota majlis dalam jawatankuasa tender dan sebut harga PBT itu juga dilihat seolah-olah satu bentuk ketidakpercayaan kerajaan negeri terhadap pegawai PBT dalam menjalankan tugas mereka.

    

Bagaimanapun, Liu berkata, langkah meletakkan anggota majlis dalam jawatankuasa tender dan sebut harga PBT adalah satu perkara biasa.

    

Beliau berkata anggota majlis dalam jawatankuasa berkenaan hanyalah bertindak sebagai pemerhati selain mendakwa langkah sedemikian turut disambut baik oleh yang dipertua dan pegawai PBT.

    

"Mereka (Yang Dipertua, pegawai PBT) suka ada pemantau (anggota majlis) di situ (jawatankuasa tender dan sebut harga PBT). Kita nak tentukan keadaan periksa dan seimbang," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS