Piket besar-besaran anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bagi membantah pindaan Akta Kerja 1955 bermula di seluruh negara bermula petang tadi.
Di Kuala Lumpur, kira-kira 200 pekerja daripada pelbagai kesatuan sekerja dan juga parti-parti politik berhimpun di hadapan bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Raja Laut.
Sejak kira-kira jam 5 petang, ahli kesatuan mula berhimpun.
Turut hadir, adalah beberapa pemimpin Pakatan dan PSM. Antara mereka ialah pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dan naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar. Turut memberi sokongan adalah beberapa wakil rakyat, termasuk Wong Ho Leng dan Dr Mohd Hatta Ramli.
Pekerja membentangkan hampir 10 kain rentang membantah pindaan akta kerja itu.
Mereka juga membawa plakad yang tertulis "Jangan Gadai Hak Pekerja" dan "Menteri Tipu Pekerja".
Mereka melaungkan "Henti Pindaan", "Turun Menteri", Tarik Balik Pindaan Akta" dan "Hidup MTUC" beberapa kali.
Tindakan itu menarik perhatian orang ramai yang memerhatikan piket itu dari kawasan yang berdekatan.
Di Pulau Pinang, hujan yang mencurah tidak menghalang kira-kira 1000 orang daripada berhimpun bagi menyatakan sokongan mereka kepada MTUC.
Pekerja berbaris di jalan utama menuju Prai dan juga membanwa sepanduk yang tertera mesej yang hampir sama.
Hujan di Pulau Pinang
Sebaik hujan yang mula reda 40 minit kemudian, peserta himpunan semakin ramai.
Hadir bersama adalah penyokong Pakatan Rakyat yang datang dengan payung.
Setiausaha MTUC Pulau Pinang, KVeeriah berkata pihak pekerja membidas pindaan yang disifatkan tidak bertanggungjawap terhadap pekerja.
Katanya, undang-undang tersebut akan mengesahkan pekerja kontrak yang akhirnya menyebabkan majikan daripada mengabaikan hak pekerja.
Di Melaka, seramai 400 orang berhimpun secara aman.
Perhimpunan yang diadakan bermula jam 5.15 petang tadi itu, turut mewakili seramai 426,000 pekerja di negeri ini.
Setiausaha Kesatuan Sekerja Malaysia negeri Melaka, Azlan Tajuddin berkata, pihak kerajaan seharusnya memandang berat terhadap tuntutan itu demi nasib rakyat negara ini pada masa depan.
“Kami meminta pindaan ini ditarik balik kerana ia bukan sahaja untuk masa depan kami tetapi masa depan anak cucu kita dikemudian hari,” katanya.
Lupa sumbangan swasta
Di Petaling Jaya, kira-kira 90 ahli MTUC mengadakan piket di depan Wisma Kesatuan Sekerja.
Piket ini diketuai setiausaha agung MTUC, Halim Mansor.
Ia bermula jam 5.10 petang tadi dengan peserta memegang sepanduk bagi menyatakan bantahan terhadap pindaan akta berkenaan.
Antara ungkapan yang tertera ialah "Martabatkan Pekerja Swasta", "Kerajaan Lupa Sumbangan Swasta" dan "Pindaan Akta Kerja 1955 Rampas Hak Pekerja."
Lokasi lain yang terbabit dengan demo meliputi Seksyen 15, Shah Alam; Teluk Panglima Garang; Jalan Barat, Petaling Jaya; Bukit Raja, Klang; Sungai Choh, Rawang; Lebuh Raya Persekutuan; Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur; Prai, Pulau Pinang; dan Jalan Bukit Beruang, Melaka.
Padang Majlis Perbandaran Seremban, Negeri Sembilan; depan bangunan MTUC Negeri Perak; padang Masjid Negeri di Kuantan, Pahang; depan Pusat Dagangan Kota Bharu, Kelantan; Jalan Skudai, Johor; Mergong, Kedah; Kuching, Sarawak; serta jalan menuju ke Wisma Merdeka, Sabah.
Antara bantahan pindaan Akta Pekerjaan 1955 ini adalah mengenai kontraktor tenaga kerja yang diwujudkan dan mengembalikan sistem kontrak yang telah dihapuskan apabila Akta Pekerjaan 1955 ini digubal dulu.
MTUC menegaskan dengan pindaan itu kedudukan pekerja menjadi tidak tetap dan tiada jaminan pekerjaan, selain mendapat kadar gaji yang sama tanpa kenaikan atau bonus, termasuk faedah lain.