Timbalan Ketua inspektor-polis Khalid Abu Bakar telah mengisytiharkan pengharaman semua aktiviti penganjur 'Seksualiti Merdeka' yang dijadualkan pada 9 hingga 13 November ini.
Bercakap dalam satu sidang akhbar di Sungai Besi hari ini, Khalid berkata polis tidak akan teragak-agak untuk menahan mereka yang menyertainya.
Katanya, pihak polis bertanggungjawab untuk mengekalkan ketenteraman awam.
Khalid berkata, apabila terdapat ancaman kepada ketenteraman awam, maka pihak polis perlu mengambil sewajarnya.
Arahan itu tersebut datang dari pihak polis sendiri, tambah Khalid.
Seksualiti Merdeka adalah festival tahunan yang meraikan hak asasi manusia rakyat yang terdiri daripada pelbagai orientasi seksual dan identiti jantina.
Ia dianjurkan oleh sekumpulan gabungan longgar NGO, artis, aktivis dan individu sejak 2008.
Program festival itu, termasuk forum, ceramah, bengkel, pelancaran buku, pameran seni dan persembahan.
Ia dijangka dirasmikan oleh Ketua BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan. [Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama melaporkan Khalid berkata polis telah
mengenal pasti dan akan memanggil kesemua mereka yang terlibat dalam penganjuran rogram itu termasuk Ambiga untuk dirakam keterangan mereka.
"Polis akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 27 A (1) (C) dan juga 298 A kta Polis untuk menghalang sebarang penganjuran majlis itu," katanya.
Beliau berkata undang-undang di negara ini tidak mengiktiraf kegiatan ongsang yang boleh menghancurkan kehidupan beragama di negara ini.
"Polis menerima banyak bantahan dari pihak Badan Bukan Kerajaan termasuk badan Agama Islam dan bukan Islam yang bimbang majlis ini akan menimbulkan suasana tidak harmoni, perasaan permusuhan serta mengganggu ketenteraman awam," katanya.
Khalid berkata dua laporan polis telah diterima setakat ini yang meminta polis mengambil tindakan terhadap penganjur kerana cuba menganjurkan program yang menganggu gugat ketenteraman awam.
"Berdasarkan laporan itu dan hasil siasatan, kita akan panggil mereka untuk nasihat. Mula-mula nasihat supaya jangan teruskan. Kalau masih berdegil, kita tidak teragak-agak untuk tahan mereka (penganjur) termasuk mereka yang menyertainya," katanya.
Bagi mengelak suasana tidak diingini berlaku, beliau berkata polis meminta orang awam supaya tidak menyertai program itu kerana ia boleh mengganggu ketenteraman awam.
"Mulai hari ini, kita akan hentikan apa sahaja event yang dilakukan penganjur dan saya juga nasihatkan orang ramai supaya tidak menghadiri apa-apa program anjuran penganjur.
"Majlis Peguam sepatutnya menasihatkan penganjur bahawa tindakan mereka salah di sisi undang-undang. Saya tidak faham kenapa mereka (Majlis Peguam) tidak jelaskan kepada mereka (mengenai kesalahan ini)," katanya.
Khalid berkata sebagai badan keselamatan negara, polis bertanggungjawab terhadap ketenteraman awam dan ia perlu menangani sebarang ancaman dengan lebih awal.
"Jangan sudah kena ketuk kepala, baru kita hendak ambil tindakan. Penganjur fikirlah dahulu sebelum buat program. Saya rasa majoriti masyarakat kita tidak boleh terima perkara ini, jadi jangan agungkanlah.
"Polis bukan menentang sebarang pergerakan hak asasi manusia untuk bersuara. Tapi apabila perkara (program) ini timbul dan mengancam keselamatan negara, kita perlu ambil tindakan.
"Inilah polis, pastikan keselamatan semua pihak terjamin," katanya.