Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Exco agama Selangor Datuk Dr Hassan Ali berkata, beliau tidak kisah jika terdapat pihak yang tidak menyokong usahanya mempertahankan akidah umat Islam, termasuk dalam isu penganjuran program berkaitan lesbian, seks, biseksual dan transeksual (LGBT).

"Saya tak perlu semua itu. Saya hanya perlu sokongan Nabi Muhammad di akhirat kelak untuk dapatkan syafaat Baginda," tegasnya.

Isu kontroversi itu muncul ekoran penganjuran program berkaitan, "Seksualiti Merdeka" di Kuala Lumpur.

Seksualiti Merdeka adalah festival tahunan yang meraikan hak asasi manusia rakyat yang terdiri daripada pelbagai orientasi seksual dan identiti jantina.

Ia dianjurkan oleh sekumpulan gabungan longgar NGO, artis, aktivis dan individu sejak 2008.

Program festival itu, termasuk forum, ceramah, bengkel, pelancaran buku, pameran seni dan persembahan.

Ia akan berlangsung dari 9 hingga 13 November dan dijangka dirasmikan oleh Ketua BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.

Bercakap dalam sidang media selepas merasmikan sebuah seminar di Shah Alam hari ini, Dr Hasan bagaimanapun bersyukur kerana setakat ini pemimpin PAS memahami pendiriannya, termasuk  penyertaannya dalam perhimpunan anti-murtad baru-baru ini.

"Saya ucapkan terima kasih atas jiwa besar ini," kata bekas pesuruhjaya PAS Selangor itu.

Beliau juga menegaskan bahawa perjuangan memantapkan akidah umat Islam sentiasa menjadi keutamannya.

"Hasan Ali, Hasan (untuk) akidah. Hasan Ali, hidup akidah, mati pun atas nama akidah," tegasnya.

Dr Hasan antara pemimpin PAS yang sering dilanda kontroversi ekoran pendiriannya yang sering berbeza pendapat dalam pelbagai isu.

Terbaru apabila beliau memutuskan menyertai Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) di Shah Alam ketika PAS negeri melarang anggotanya terlibat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS