Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Piket membantah pindaan Akta Kerja 1955 akan diteruskan walaupun Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tidak bercadang untuk memohon permit kerana kesuntukan masa untuk berbuat demikian.

Setiausaha Agung MTUC Abdul Halim Mansor berkata pihaknya kesuntukan masa untuk berbuat demikian kerana hanya mengetahui mengenai arahan tersebut melalui media semalam.

"Oleh sebab itu, saya memohon kerjasama pegawai MTUC di lokasi supaya dapat bekerjasama dengan polis di peringkat daerah supaya piket berlangsung dengan aman.

"Kita tidak berarak, kita berada di situ, tidak ada ceramh politik, ia piket aman dan mungkin ada nyanyi-nyanyi sikit," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Semalam, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Salleh Mat Rasid berkata walaupun surat yang memaklumkan tujuan serta lokasi piket itu diadakan telah dihantar kepada Ketua Polis Negara, prosedur untuk mengadakan perhimpunan masih perlu dipatuhi.

Oleh itu, katanya, MTUC masih perlu mengemukakan permohonan permit kepada polis berhubung cadangan mengadakan piket esok, seperti yang termaktub dalam Seksyen 27 Akta Polis 1967.

MTUC dijadual mengadakan piket secara serentak di 18 lokasi di seluruh negara selepas waktu bekerja iaitu antara jam 5 hingga 6.30 petang ini.

Lokasi berkenaan ialah Seksyen 15 Shah Alam, Jalan Persiaran Kuala Selangor, Teluk Panglima Garang, Jalan Barat Petaling Jaya, Bukit Raja Klang, Rawang/Sungai Choh di Selangor, Pulau Pinang (Hadapan Pearl View Hotel, Prai), Melaka (Jalan Bukit Beruang Air Keroh), Negeri Sembilan (Padang Majlis Perbandaraan Seremban).

Di Perak (Hadapan bangunan MTUC, Ipoh), Pahang (Padang Masjid Negeri, Kuantan), Kelantan (hadapan Kota Baharu Trade Centre), Johor (hadapan MasjidJamek Kampung Pasir, Batu 5 Jalan Skudai), Kuala Lumpur (hadapan bangunan KWSP Jalan Raja Laut), Sabah (hadapan Tang Dynasty hotel dan Centre Point Kota Kinabalu), Kedah (hadapan Sime Tyre International, Mergong) dan Sarawak (hadapan Bangunan Sultan Iskandar, Kuching).

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata sebelum inipun pihaknya pernah mengadakan piket yang sama tanpa memohon permit polis.

Lagi pula, katanya, piket yang diadakan selama ini berjalan dengan aman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS