Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sering tergendala: SPAD periksa monorel Melaka

Operasi Melaka Monorel dihentikan selama dua hari bermula hari ini bagi membolehkan kerja-kerja pemeriksaan secara keseluruhan dilakukan pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Tindakan itu, selepas insiden sepasang pelancong dari Britain terkandas dalam monorel berkenaan dipercayai berpunca daripada kerosakan pada pam pintu sehingga menyebabkan sistem terhenti.

melaka monorail Ketua Pegawai Operasi SPAD, Azhar Ahmad berkata, kerja-kerja pemeriksaan itu akan dilakukannya bersama empat pegawai.

“Saya nilaikan kejadian yang berlaku amat serius kerana dikhuatiri boleh menjejaskan imej negara kerana ia turut membabitkan pelancong dari luar negara.

“Kita minta sistem Melaka Monorel ditutup selama 48 jam sehingga Jumaat ini bagi membolehkan jurutera SPAD melakukan pemeriksaan lanjut terhadap aspek keselamatan dan teknikal pada keseluruhan sistem ini,” katanya selepas mengadakan sidang akhbar mengenai perkara itu, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari, Nazary Ahmad.

Menurut Azhar, seramai lima jurutera yang dilantik SPAD akan melakukan pemeriksaan selama 48 jam terhadap keseluruhan sistem monorel berkenaan.

"Kita mahu pastikan sama ada kemudahan itu selamat digunakan, menepati aspek keselamatan dan langkah diambil jika berlaku insiden kecemasan.

"Bagaimanapun, sekiranya Menara Taming Sari memerlukan lebih lama masa untuk menangani masalah itu, SPAD akan mengeluarkan arahan bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan benar-benar selamat," katanya.

british tourist trapped at melaka monorail Pada kejadian yang berlaku kira-kira jam 1 tengahari Khamis lalu, dua pelancong Britain, James Craft, 57, bersama pasangannya Anne Craft, 49, terpaksa diturunkan menggunakan tangga kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat setelah terkandas kira-kira satu jam dalam monorel berkenaan.

Kejadian berlaku berhampiran Stesen Monorel Hang Jebat.

Operasi perkhidmatan Melaka Monorel yang bernilai RM15.9 juta itu bermula sejak setahun lalu dan pernah dihentikan sebanyak tiga kali akibat masalah teknikal.

ADS