Sebuah gabungan NGO Islam hari ini membuat laporan polis terhadap penganjur program "Seksualiti Merdeka 2011: Queer Without Feer" yang bermula semalam hingga 13 November ini.
Laporan polis itu dibuat oleh setiausaha Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN), Dr Mohd Roslan Mohd Nor di Balai Polis Pantai kira-kira jam 4 petang ini.
Dalam laporan polis tersebut, ACCIN membantah sekeras-kerasnya tindakan penganjur, penajaga dan penyokong program itu, yang didakwa gabungan itu yang melibatkan menjayakan "agenda gerakan homoseksual" di Malaysia sejak 2008.
ACCIN dianggotai 17 NGO Islam termasuk Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Al-Hidayah, Darul Fitrah, MACMA, IIS, MUAFAKAT, ISMA, AL-Hunafa, IMAN, Jam'iyah, Darusshifa, WAMY, GEPIMA dan PERKIM.
Dalam laporan polis tersebut, ACCIN berkata, program itu yang didakwanya menuntut pengiktirafan kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), bukan sahaja mengakibatkan diskriminasi bentuk baru atas nama hak asasi.
Tetapi, dakwa ACCIN, ia juga mencerca syariah, perundangan Malaysia, asas moral dan kesucian semua agama, serta boleh mengancam ketenteraman dan kemanan negara.
Dalam laporan polis itu juga, Dr Mohd Roslan meminta agensi penguatkuasaan, khususnya polis, menyiasat dan bertindak tegas menghalang program, gerakan dan individu yang mengakui sebagai homoseksual tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan berdasarkan peruntukan undang-undang syariah dan sivil.
Bercakap kepada media selepas membuat laporan tersebut, beliau juga meminta pihak berwajib seperti Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti dan Majlis Fatwa Kebangsaan menyatakan bantahan bagi menyelesaikan perkara ini.
Dr Mohd Roslan yang juga setiausaha agung PUM mendakwa penganjuran program ini "ingin mencabar kedudukan perlembagaan" yang menyatakan Islam sebagai agama persekutuan.
"Apabila Islam sebagai agama persekutuan, ia melibatkan Yang di-Pertuan Agong. Maka ia bermaksud mencabar kepimpinan tertinggi (negara)," katanya.
Menurutnya lagi, asas bantahan mereka juga adalah berdasarkan kepada Artikel 25 Deklarasi Kaherah Mengenai Hak Asasi Manusia dalam Islam.
Artikel tersebut - yang dipersetujui oleh semua negara Islam - menyatakan setiap polisi yang hendak dijalankan mestilah tidak bercanggah dengan prinsip Syariah.
"Oleh itu LBGT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) bercanggah (dengan syariah) dan bercanggah dengan deklarasi (itu)," katanya.
Sementara itu, ketua biro tugas-tugas khas (undang-undang) PUM, Mohd Khairul Anwar Ismail pula berkata, perjuangan hak asasi perlu dipandang dalam kerangka agama.
Jika tidak, katanya, ia akan membawa implikasi bahawa rakyat Malaysia akan menjadi seperti di negara barat yang membenarkan hubungan sesama jenis yang di luar batas agama.