Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Sebuah NGO hari ini menyerahkan memorandum kepada Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mendesak beliau memohon maaf berhubung kenyataannya yang didakwa menghina hukum hudud.

Sehubungan itu, Sekretariat Jingga 13 memberi tempoh 48 jam untuk beliau berbuat demikian dan menarik balik kenyataannya yang dilaporkan mendakwa bahawa perlaksanaan hukum hudud menjadikan negara ini mundur dan menakut-nakutkan pelabur.

NONE "Sekiranya Dr Chua gagal berbuat demikian, maka Jingga 13 tidak teragak-agak untuk membawa perkara ini mengadap Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama Islam di Malaysia," memorandum itu dipetik.

Chua pada 29 Oktober lalu dilapor berkata hasrat PAS melaksanakan hudud akan memberi kesan besar terhadap pelaburan langsung asing dan kedatangan pelancong.

Beliau dilaporkan berkata, kecuali negara yang kaya dengan sumber asli, pelaksanaan hudud menyebabkan mereka terkebelakang.

Bercakap sebelum menyerahkan memorandum itu, ketua koordinator Jingga 13 Fariz Musa menyifatkan kenyataan Chua itu sebagai "menghina Islam" kerana hukum hudud telah termaktub di dalam Al-Quran.

"Kenyataan Chua itu boleh menyebabkan suasana yang tidak senang kepada orang Islam dan (dikhuatiri) boleh menimbulkan ketegangan agama.

NONE "Ini isu yang serius, bukan isu remeh-temeh... Kita tidak mahu budaya ini berterusan," katanya.

Beliau juga menyifatkan kenyataan Chua itu sebagai "satu dakyah palsu" dan presiden MCA tidak mempunyai hak untuk mengeluarkan kenyataan mempertikaikan hukum hudud.

"Hukum hudud khusus untuk orang Islam... Kita minta hentikan kenyataan (menghina) hukum hudud," katanya.

Beliau juga berharap polis dapat membuat siasatan segera memandangkan mereka telah membuat aduan terhadap Chua beberapa hari lalu.

Kira-kira 20 anggota NGO itu dan beberapa pemimpin AMK hadir ke Wisma MCA di Jalan Ampang membantah kenyataan Chua.

Mereka mengangkat beberapa plakad yang tertulis 'Jangan hina Islam" dan "Jangan Biadap' sambil melaung-laung beberapa kali "Chua Soi Lek Biadap" dan "MCA Biadap".

NONE Kemudian, memorandum tersebut diserahkan kepada setiausaha akhbar presiden, Gian Say Khoon di lobi wisma berkenaan kira-kira jam 2.30 petang.

Gian yang menerima memorandum tersebut berjanji akan menyerahkan memorandum tersebut kepada Chua.

Kira-kira lima anggota polis mengawal perhimpunan selama kira-kira sepuluh minit di hadapan bangunan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS