Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Hasrat dua pelancongan Britain menikmati keindahan bandaraya Melaka dengan menaiki monorel terbantut apabila mereka terperangkap selama 20 minit di dalam gerabak gara-gara perkhidmatan terhenti secara tiba-tiba.

british tourist trapped at melaka monorail Perkhidmatan monorel berkenaan berhenti hanya setelah 20 meter meninggalkan Stesen Hang Jebat di Melaka dalam kejadian kira-kira jam 1.09 tengahari semalam.

Akibatnya, bekas anggota polis, James Craft, 57 dan isterinya, Anne Craft, terpaksa menghabiskan kira-kira 20 minit di dalam gerabak monorel berkenaan sebelum diselamatkan anggota bomba dan penyelamat.

Menggunakan tangga kecemasan untuk sampai ke gerabak monorel berkenaan, anggota penyelamat kemudiannya membantu mereka turun.

Sambil menyifatkan kejadian itu sebagai suatu yang tidak akan dilupakannya, James berkata, beliau dan isteri membuat keputusan menggunakan monorel berkenaan untuk melihat keindahan panorama Melaka.

Menurutnya, gerabak monorel berkenaan berhenti secara tiba-tiba sejurus selepas meninggalkan stesen.

Kali kedua

 

"Walaupun terperangkap di dalam gerabak selama 20 minit, kami sama sekali tidak panik. Malahan, saya dapati anggota penyelamat begitu ramah dan profesional dalam menjalankan tugas mereka," katanya.

 

Ini merupakan kali kedua sistem monorel bernilai hampir RM15.9 juta di sepanjang Sungai Melaka ini terhenti perkhidmatan.

 

Tahun lalu, seramai 20 penumpang turut terperangkap di dalam gerabak monorel berkenaan apabila ia terhenti kira-kira 100 meter dari Stesen Hang Jebat.

 

melaka monorail Sistem monorel sepanjang 1.6km itu dilancarkan Oktober tahun lalu.

Bagaimana, sejurus pelancaran, perkhidmatannya digantung sementara berikutan beberapa masalah teknikal.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari, iaitu pengendali perkhidmatan itu, Nazry Ahmad berkata, kejadian semalam disebabkan masalah pam pada salah satu pintu gerabak.

Menurutnya, sistem monorel berkenaan secara automatik akan menghentikan operasi apabila pintu gerabak tidak ditutup.

 

"Kita mengganggap ini satu masalah kecil sahaja. Perkhidmatan telah bersambung semula jam 3.30 petang selepas kerosakan berkenaan diperbaiki," katanya.

Difahamkan, tambang kedua pelancong Britain berkenaan juga telah dikembalikan kepada mereka, selain mereka turut ditawarkan tiket percuma untuk menaiki Menara Taming Sari.

 

Difahamkan juga pihak pengendali perkhidmatan monorel itu turut menghantar notis memohon maaf serta cenderamata kepada pasangan berkenaan.

ADS