Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Waran tangkap dikeluarkan ke atas Bob Lokman
Diterbitkan:  Nov 1, 2011 7:28 PM
Dikemaskini: 11:23 PM

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mendapat waran tangkap ke atas pelakon, pengacara dan penulis lirik terkenal Bob Lokman kerana didakwa menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah.

Pengarah JAIS, Marzuki Hussin memberitahu wartawan di Shah Alam bahawa waran tangkap itu dikeluarkan pada 28 Oktober lalu yang membolehkan Bob ditangkap jika dikesan di negeri itu

NONE “Jabatan kami sedang mencari Bob ( kanan ), kerana beliau dikehendaki membantu siasatan yang membabitkan dirinya. Kami dalam proses mengambil tindakan undang-undang bagi membolehkan Bob hadir di mahkamah (syariah).

“Beliau akan dibebaskan dengan jaminan selepas kenyataannya diambil,” kata Marzuki.

Bob ditahan di Masjid Kampung Sungai Lui, Hulu Langat pada 10 Oktober lalu kerana didakwa menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah kepada kira-kira 70 hadirin.

Meskipun diminta tampil memberi keterangannya oleh JAIS, Bob yang kini bergiat aktif bersama parti Islam PAS berkata tidak ada sebab untuknya bekerjasama kerana tindakan itu tidak ada kepentingan untuk Islam.

Menurut Marzuki Hussin, JAIS sedang berusaha mengesan lokasi Bob  dan hanya menunggu masa untuk menahannya.

“Kita masih mengesan lokasi sebenar beliau dan sekiranya berada di Selangor, kita akan menahannya serta-merta kerana gagal hadir membantu siasatan berhubung tindakannya menyampaikan ceramah tanpa tauliah,” katanya

Penulis lirik berhantu "Isabella" itu sebelum ini pernah berkata, beliau sanggup menghadapi sebarang tindakan, termasuk kemungkinan menghadapi waran tangkap daripada mahkamah.

azlan "Nak tangkap, tangkaplah. Saya tidak akan hadir. Sifat (JAIS) begini bukan hendak jaga keharmonian agama," katanya sambil memberitahu dia akan hanya berserah pada Allah.

Bob nama sebenarnya Muhammad Hakim Lokman, 47, disiasat mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Islam (Negeri Selangor) 2003, yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Beliau boleh dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12B Enakmen Jenayah Syariah Selangor jika gagal memberi keterangan dengan sengaja dan tertuduh boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan.

Ini bukan kes pertama seumpa itu, sebelum ini ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad juga didakwa atas tuduhan yang sama.

ADS