Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Piket pekerja berlangsung serentak di 18 lokasi
Diterbitkan:  Nov 1, 2011 12:41 PM
Dikemaskini: 6:10 AM

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini memberi jaminan piket yang akan diadakan di seluruh negara Khamis ini akan diadakan secara aman.

Setiausaha Agung MTUC Abdul Halim Mansor juga berkata piket bagi membantah pindaan terhadap Akta Kerja 1955 yang diluluskan Parlimen pada 6 Oktober lepas, tidak akan mengganggu ketenteraman awam serta tidak mengganggu tugas pekerja terbabit kerana ia akan diadakan selepas waktu bekerja iaitu antara pukul 5 hingga 6.30 petang.

Beliau berkata sebanyak 18 lokasi piket telah ditetapkan iaitu Seksyen 15 Shah Alam, Jalan Persiaran Kuala Selangor, Teluk Panglima Garang, Jalan Barat Petaling Jaya, Bukit Raja Klang, Rawang/Sungai Choh di Selangor, Pulau Pinang (Hadapan Pearl View Hotel, Prai), Melaka (Jalan Bukit Beruang Air Keroh), Negeri Sembilan (Padang Majlis Perbandaraan Seremban).

azlan Di Perak (Hadapan bangunan MTUC, Ipoh), Pahang (Padang Masjid Negeri, Kuantan), Kelantan (hadapan Kota Baharu Trade Centre), Johor (hadapan MasjidJamek Kampung Pasir, Batu 5 Jalan Skudai), Kuala Lumpur (hadapan bangunan KWSP Jalan Raja Laut), Sabah (hadapan Tang Dynasty hotel dan Centre Point Kota Kinabalu), Kedah (hadapan Sime Tyre International, Mergong) dan Sarawak (hadapan Bangunan Sultan Iskandar, Kuching).

Ketika dihubungi Bernama , Abdul Halim berkata pihaknya telah menghantar surat kepada Ketua Polis Negara bagi memaklumkan tujuan serta lokasi piket itu diadakan.

"Berdasarkan pengalaman selama 30 tahun bersama MTUC, saya memberi jaminan bahawa piket ini akan berlangsung secara aman bagi membela nasib pekerja dan memastikan perlindungan serta hak-hak pekerja terjaga.

"Insya-Allah piket ini akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pekerja berdasarkan lokasi yang kita pilih iaitu berhampiran dengan tempat kerja bagi memudahkan mereka datang memberi sokongan," katanya.

Beliau berkata piket itu di jangka melibatkan antara 300 hingga 500 orang di setiap lokasi dan pegawai kesatuan telah diberi tanggungjawab memastikan piket berlangsung secara aman.

Ditanya mengenai bantahan terhadap pindaan Akta Kerja 1955 itu, Abdul Halim berkata isu utama mengenai pindaan akta itu ialah wujudnya kontraktor tenaga kerja dan ini membolehkan majikan 'mengupah' kontraktor itu memberikan tenaga kerja kepada majikan berkenaan.

Beliau berkata sistem itu membuatkan pekerja itu bekerja untuk kontraktor bukan majikan berkenaan menyebabkan majikan tidak mempunyai tanggungjawab secara terus menjaga kebajikan pekerja terutamanya melibatkan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

-- Bernama

ADS