Ahli parlimen Batu, Tian Chua memfailkan satu usul untuk memotong gaji perdana menteri ekoran "masalah dan kepincangan" yang berlaku sejak Datuk Seri Najib Razak menjawat jawatan itu pada April 2009.
Usul untuk memotong gaji itu merupakan ingatan kepada perdana menteri supaya menjalankan tugas dengan baik, kata Tian ketika bercakap kepada pemberita di bangunan parlimen hari ini.
"Ini secara tidak langsung merupakan usul tidak percaya," katanya lagi berhubung usul yang difailkan mengikut Peraturan Mesyuarat 66(9) itu.
Usul pindaan ke atas Bajet 2012 untuk mengurangkan gaji sebulan perdana menteri sebanyak RM22,826.65 telah diterima oleh pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Jumaat lalu.
Tian melandaskan usul berkenaan dengan alasan, antaranya tindakan perdana menteri yang didakwa tidak sensitif dengan kesusahan yang dihadapi rakyat apatah lagi dengan kadar inflasi yang tidak terkawal.
Katanya, langkah kerajaan membayar jutaan ringgit kepada firma perundingan perhubungan awam seperti Apco Worlwide dan FBC Media untuk mempromosi negara pula memburukkan lagi keadaan.
Selain itu, Tian turut membangkitkan mengenai penganugerahan projek untuk membina MRT Lembah Klang dan juga pembangunan semula kawasan lapangan terbang Sungai Besi tanpa tender.
Turut dibangkitkannya ialah "politik kotor" dalam isu berhubung rakaman video aksi seks yang didakwa melibatkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga "cerita rekaan" terhadap anak ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Dakwaan berkenaan "disebar dan diulang oleh pemimpin kanan BN tanpa pemintaan maaf," kata Tian lagi pada sidang media tersebut.