Kerajaan sedang mengenalpasti perkara berkaitan akta untuk membendung gejala murtad dan menghukum pihak yang bertanggungjawab, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Katanya, perkara diambil kira termasuk bidang kuasa kerajaan Pusat dan kerajaan negeri seperti termaktub dalam perlembagaan persekutuan, lapor Berita Harian .
"Jika di peringkat Pusat ia akan membabitkan perlembagaan, manakala di peringkat negeri juga ada ketetapan tertentu yang perlu kita kaji," beliau dipetik sebagai berkata sewaktu merasmikan seminar kewangan Islam di Jitra semalam.
Jamil Khir ( kanan ) berkata, ia perlu mengikut kesesuaian bagi memastikan tidak timbul masalah atau percanggahan bila dilaksanakan.
Akta murtad dicadangkan Mufti Perak Tan Sri Harunussaini Zakaria untuk menghukum individu yang memurtadkan orang Islam kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Harussani dilaporkan berkata, pada 2008 beliau pernah mendedahkan terdapat 260,000 orang Melayu dikristiankan di negara ini dan bilangan itu dikhuatiri bertambah saban tahun.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Oktober lalu berkata, sekiranya kesepakatan dicapai, penelitian harus dibuat supaya akta itu tidak bercanggah dengan bidang kuasa kerajaan persekutuan sebelum ia diteliti oleh Peguam Negara.