Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memuji penganjur Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) yang bertujuan mempertahankan akidah umat Islam yang berlangsung semalam merupakan contoh penganjuran perhimpunan secara aman seperti yang dihasratkan kerajaan.
Katanya, perhimpunan anti murtaditu cukup berbeza dengan BERSIH 2.0 yang menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya di negara ini pada 9 Julai sehingga lebih seribu perserta ditangkap dan dikenakan pelbagai dakwaan.
"Perhimpunan semalam berlangsung secara aman dan terkawal, tidak ada sesiapa pun yang rasa terganggu, tertekan atau tidak selamat.
"Itulah hasrat kerajaan apabila kita menawarkan stadium untuk BERSIH 2.0 mengadakan perhimpunan mereka," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Perdana Bersama Perdana Menteri Dengan Pesara Dan Bekas Polis di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Najib, berbanding dengan kekecohan dan huru-hara semasa BERSIH 2.0 dengn perhimpunan semalam, terdapat perbezaan yang besar.
Najib berkata HIMPUN mencerminkan usaha dalam agenda pembaharuan kerajaan bagi meminda Seksyen 27 Akta Polis untuk membenarkan lebih banyak ruang untuk demonstrasi aman.
"Kita akan mengkaji apa yang berlaku semalam dan mengkaji norma-norma di negara lain. Pihak Ketua Polis Negara dan Kementerian Dalam Negeri sedang meneliti perkara ini dan kita akan merumuskan apa yang terbaik, sesuai dengan amalan sebuah negara yang mengamalkan demokrasi moden dan progresif," kata Najib.
Beliau berkata langkah itu perlu bagi mengimbangi antara hak asasi dan kepentingan umum dalam soal keamanan dan ketenteraman awam.
Mengulas resolusi perhimpunan itu yang meminta kerajaan menggubal undang-undang khusus bagi mencegah dan membendung gejala murtad dan kegiatan memurtadkan umat Islam di negara ini, Najib berkata kuasa mengenai agama tertakluk kepada kerajaan negeri.
10 resolusi
"Saya percaya jika perlu akta ini, pihak negeri akan teliti tuntutan yang dibuat dan diberi tindakan sewajarnya," katanya.
Tuntutan itu merupakan antara 10 resolusi yang dicapai pada perhimpunan berkenaan, selain memastikan undang-undang pencegahan yang tegas dan kukuh untuk memelihara kemuliaan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dapat dimasukkan sebagai kandungan utama akta yang akan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri.