Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
HIMPUN pelawa bukan Islam hadir perhimpunan Sabtu ini

Penganjur Perhimpunan Sejuta Umat (HIMPUN) hari ini mempelawa masyarakat bukan Islam untuk turut serta dalam Perhimpunan Sejuta Ummat yang akan diadakan pada Sabtu ini.

Sehubungan itu, pengerusi bersama HIMPUN, Yusri Mohamad menyeru masyarakat bukan Islam supaya mendapat maklumat terkini dari lamanweb sekretariat itu bagi menghilangkan kebimbangan mereka terhadap perhimpunan itu.

Katanya, sekretariat itu juga "tidak ada rancangan" untuk mengasing-asingkan antara penganut Islam dan bukan Islam.

"Bagi umat Islam, tidak ada dalam sejarah kita untuk membelakangi undang-undang... Kita mengikut batas undang-undang.

himpun 20 oct 2011 "Kita memohon permit, dibuat dalam stadium untuk memastikan mesej dapat disampaikan.

"Kita akan pastikan mesej yang akan disampaikan tidak melampau," kata Yusri dalam satu sidang media petang ini.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memastikan tidak ada sepanduk yang berunsur provokatif pada hari berkenaan, tetapi mengalu-alukan sepanduk yang selari dengan mesej perhimpunan tersebut.

Penasihat Sekretariat HIMPUN, Tan Sri Ibrahim Abu Shah yang turut hadir dalam sidang media tersebut mencelah dengan mengharapkan bukan Islam hadir dengan hati terbuka dan berfikiran positif.

"Kita bukan nak bergaduh," celah Ibrahim yang juga bekas naib canselor UiTM Shah Alam.

Sementara itu, Yusri berharap pemimpin politik, termasuk Umno dan PAS hadir dalam perhimpunan tersebut atas kapasiti sebagai "sebahagian daripada umat Islam".

Bagaimanapun, beliau menghormati pendirian rasmi parti politik itu bahawa mereka tidak menyertai secara rasmi dalam perhimpunan itu.

"Isu murtad, isu yang patut kita bersatu. Bersatu atas politik , bukan fokus perhimpunan ini.

"Parti Islam dan bukan Islam perlu ada persefahaman, ada persepakatan supaya jangan menggalakkan unsur murtad (ini berlaku)," tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Yusri berkata pihaknya menyediakan kira-kira 500 pengawas untuk memastikan kelancaran dan keselamatan perhimpunan tersebut.

"Isunya jelas, isu agama. Kita mengajak peserta (hadir) dengan syarat positif dengan semangat keagamaan dan patriotisme," katanya sambil menambah pihaknya mensasarkan seramai 100,000 orang menghadiri perhimpunan itu.

Beliau yang juga pengerusi Yayasan Sofia berkata jumlah tersebut adalah "simbolik" jutaan umat Islam yang berada di negera ini.

Ditanya sama ada pihaknya akan berdialog dengan pemimpin agama lain selepas perhimpunan tersebut, Yusri berkata ia merupakan "satu kemungkinan dan tidak ada keputusan rasmi" berhubung perkara itu.

"Yang pastinya ada deklasrasi untuk disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong, Majlis Raja-raja, pemimpin kerajaan pusat, negeri dan pemimpin bukan Islam supaya mendapat gambaran tepat (mengenai perhimpunan ini)," katanya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS