Presiden Majlis Gereja Malaysia, Bishop Thomas Tsen menggesa pemimpin HIMPUN supaya berdialog dan bukannya bermain "emosi" dengan mengadakan perhimpunan besar-besaran anti-murtad.
"Ini hanya memainkan sentimen emosi. Saya tidak menggalakkan ini dan ia tidak membantu bagi masyarakat yang harmoni.
"Jika mereka benar-benar mahu membantu keadaan, mereka sepatutnya mengadakan dialog dan semua orang boleh duduk dan berbincang dalam keadaan minda yang jelas. Ia akan menjadi satu pendekatan yang lebih bijak," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi semalam.
Beliau menambah, titah Sultan Selangor ( atas, kanan ) baru-baru ini bertujuan untuk menenangkan Kontroversi mengenai dakwaan ada usaha untuk memurtadkan umat Islam.
Oleh itu, katanya, perhimpunan tersebut akan memarakkan lagi keadaan.
Pandangan Tsen itu turut disokong oleh setiausaha agung kehormat Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST).
"Sultan telah bertitah tidak ada tindakan selanjutnya ... Sultan telah membuat satu pendirian dan (jadi) satu juta orang berkumpul untuk menunjukkan apa? Untuk menunjukkan umat Islam bersatu dan akidah mereka kuat? Untuk apa?" soal Prematilaka KD Serisena.
'Campurtangan politik'
Memandangkan perhimpunan itu diadakan selepas titah Sultan Selangor, maka Prematilaka tidak yakin ia tiada kaitan politik seperti yang didakwa oleh pihak penganjur.
"Saya percaya terdapat campurtangan politik, itulah sebabnya PAS telah membuat keputusan untuk tidak melibatkan diri," katanya.
Perhimpunan itu, dakwa Prematilaka, mengambil pendirian konfrontasi terhadap agama lain, yang menurutnya "tidak perlu".
"Apa yang kita akan lakukan ialah berdoa dan kami percaya tiada apa jua yang tidak diingini akan berlaku," katanya.