PKR tidak akan menyertai Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) Sabtu ini di Stadium Shah Alam, Selangor.
Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keputusan itu dibuat selepas mengadakan mesyuarat semalam dan semua anggota pembangkang sebulat suara mendapati ia tidak akan memberi hasil yang positif kepada parti tersebut.
"PKR bimbang penyertaannya dalam Himpun kelak akan dipergunakan dan diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu terutamanya daripada beberapa parti politik arus perdana," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Anwar yang juga ketua pembangkang berkata PAS turut mengikut langkah PKR dengan tidak menyertai himpunan tersebut.
PKR tidak mahu menimbulkan kegelisahan dan kecurigaan di antara agama dan kaum lain akibat penyertaannya dalam perhimpunan yang dijangka akan dihadiri seramai sejuta umat Islam di stadium tersebut, katanya.
Perhimpunan yang bertemakan "Selamatkan Akidah" itu adalah anjuran bersama badan bukan kerajaan (NGO), NGO Islam, institusi pendidikan, warga korporat, kelab sukan dan riadah, persatuan seni mempertahankan diri, pasukan beruniform, kelab belia, ahli jawatankuasa masjid dan surau, tenaga guru dan beberapa badan lain.
- Bernama