Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
HIMPUN: Umno S'gor mahu hadir, PAS tak ikut serta
Diterbitkan:  Oct 19, 2011 3:30 PM
Dikemaskini: 8:08 AM

Pemuda Umno Selangor akan mengambil bahagian dalam Perhimpunan Sejuta Umat (HIMPUN) Sabtu itu atas dasar perjuangan Islam dan bangsa Melayu, kata ketuanya, Engku Salleh Engku Jamal.

“... Siapa yang menganjurkannya tidak penting kerana yang paling utama adalah perjuangan Islam dan pertahankan akidah umat lslam di negara ini," katanya dalam laporan akhbar Sinar Harian hari ini.

Laporan itu memetik Engku Salleh berkata dianggarkan lebih 2,000 Pemuda Umno Selangor akan turut serta dalam perhimpunan itu.

Bagi PAS Selangor pula, ia tidak akan mengambil bahagian, selaras dengan keputusan yang dicapai oleh pemimpin parti itu malam tadi.

"Oleh itu, Pesuruhjaya PAS Selangor (Dr Abdul Rani Osman) mengarahkan semua ahli PAS di Selangor agar tidak terlibat dalam himpunan tersebut selaras dengan arahan pusat," kata setiausaha PAS Selangor, Khairuddin Othman dalam satu kenyataan.

Malam tadi, presiden parti Abdul Hadi Awang berkata parti itu tidak akan mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut kerana penganjurnya berkata ia tiada kaitan dengan politik.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat biro politik parti Islam itu dalam mesyuarat di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat tersebut, Hadi berkata, PAS memperingatkan pihak yang terlibat bertindak selaras dengan peruntukan undang-undang dalam menjamin keharmonian negara yang berbilang bangsa dan agama.

PKR Selangor bagaimanapun, akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.

ketua penerangannya, Shuhaimi Shafiei dipetik Sinar Harian sebagai berkata, beliau tidak boleh mengulas lanjut memandangkan pihaknya  belum membincangkan perkara itu.

ezam mohd noor at mca function 2 Selasa lalu, penganjurnya memberi jaminan HIMPUN tidak mempunyai kaitan politik ataupun akan digunakan bagi menyerang mana-mana kumpulan.

Secara khusus, pengerusi bersama himpunan itu Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia tiada kaitan dengan beberapa ahli politik kontroversi - Datuk Zulkifli Noordin, Ezam Mohd Noor dan Datuk Ibrahim Ali.

Sinar Harian juga melaporkan perhimpunan itu mendapat sokongan daripada NGO Islam, termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM).

"Program yang asas tujuannya penyatuan ummah dan menentang mana-mana organisasi yang cuba mendakyahkan agama mereka untuk memurtadkan umat Islam," kata setiausaha agung PPIM, Datuk Dr Maamor Osman dalam laporan tersebut.

[Baca berita penuh]

ADS