Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berang dengan tindakan penulis blog pro-Umno yang cuba menamatkan kerjaya politiknya dengan mengheret kehidupan anak remajanya dengan segala pembohongan yang “keji serta tidak bertamadun”.
Dalam satu kenyataan media, Lim menuntut bahawa Umno bertindak ke atas mereka yang bertanggungjawap melakukan perbuatan itu bagi membuktikan bahawa parti itu tidak menggunakan taktik "terdesak, berbahaya dan kotor" untuk terus berpaut pada kuasa.
“Dalam zaman moden ini, adalah sangat sukar bagi anak-anak muda yang membesar, terutamanya apabila ayahnya merupakan seorang Ketua Menteri yang setiap hari menjadi sasaran media pro-Barisan Nasional,” kata Lim.
Beliau juga mengutuk tindakan beberapa pemimpin Umno yang memuat-naikkan artikeji yang keji itu di blog mereka. Antara yang dinamakan adalah naib ketua Umno bahagian Bukit Gelugor Dr Novandri Hasan Basri dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin.
Khairy yang juga ahli parlimen Rembau, sebelum itu telah menulis di tweeter @ PapaGomo Mungkin dia roboh Kampung Buah Pala sebab nak ganti dengan Kampung Buah Dada.”
"Saya berharap mereka yang menabur dusta ini tentang anak muda saya boleh melihat diri mereka sendiri di cermin sebagai seorang bapa, dan bertanya sama ada mereka mahu anak mereka menderita trauma pembohongan seumpama itu," kata Lim.
"Keluarga saya dan saya berhak mengambil apa-apa tindakan selanjutnya untuk melindungi diri kami daripada apa-apa ancaman. Buat masa ini, isteri saya dan saya akan cuba mententeram dan memulihkan anak muda saya dan berdoa bahawa dia akan pulih daripada dilakukan sebegitu kejam”.
Lim berkata jika seteru politiknya mahu ‘menghabiskan’ kerjayanya, mereka boleh berbuat apa sahaja terhadap dirinya tetapi anak-anaknya tidak harus diusik.
Katanya, ahli-ahli politik Umno juga mempunyai anak-anak, tetapi DAP tidak pernah tergamak mengganggu mereka dan tidak menaruh sebarang niat bagi membalas perbuatan itu.
“Anak saya resah gelisah dan mengalami trauma kerana pembohongan ini. Dia juga sudah tidak ke sekolah dua hari. Saya sedih kerana gagal melindungi anak saya daripada pemimpin dan blogger Umno yang bersifat binatang ini,” kata Lim dengan kesal.
Jelasnya, anaknya itu berpindah sekolah bukan kerana masalah disiplin seperti yang didakwa oleh blog pro-Umno tetapi kerana mahu menyimpan rambut yang lebih panjang.
Di sekolah asalnya, SMJK Heng Ee, pelajar lelaki diwajibkan menggunting pendek rambut mereka.
“Anak saya telah ditukarkan ke Sekolah St Xavier di Pulau Pinang dari Sekolah Menengah Kebangsaan Cina Heng Yee kerana saya telah berjanji kepadanya bahawa dia boleh berpindah sekolah mengikut pilihannya jika mendapat memperoleh keputusan sekurang-kurangnya 6A dalam PMR.
“Apabila dia berjaya mendapat keputusan itu, dia telah dipindahkan pada awal penggal persekolahan tahun ini iaitu pada bulan Januari 2011.
“Anak saya juga mahu pergi ke St Xavier kerana dia tidak mahu rambutnya dipotong menjadi crew cut (seperti rekrut askar) yang diwajibkan terhadap pelajar-pelajar di Heng Yee,” katanya.