Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini buat kesekian kalinya mencabar perdana menteri Datuk Seri Najib Razak untuk berdebat "pada bila-bila masa."
Kali ini, Anwar mahu peluang berdebat untuk menerangkan kepada Najib dasar Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga dan juga bajet bayangan yang ditawarkannya.
"Saya usulkan untuk bantu rakyat terdedah kepada dua-dua dasar kerajaan BN dan pakatan, saya ulangi gesaan untuk adakan debat terbuka," katanya.
Beliau juga mahu berdebat kerana tidak berpuas hati dengan kenyataan Najib semalam yang menyifatkan bajet oleh Pakatan sebagai "belanjawan republikan aliran kanan yang gagal memahami kehendak rakyat."
Ketika ditanya, Anwar berkata beliau telah menggunakan peluang dalam ucapannya di Dewan Rakyat untuk menerangkan belanjawan berkenaan.
"Kita sudah (bahas) tapi seperti dialog dengan orang tuli," katanya yang menambah bajet bayangan itu telah menggariskan tumpuan untuk meringankan beban rakyat.
"Gaji minimum, kenaikan gaji pekerja awam ditekankan dan konsesi termasuk penjana tenaga bebas, penswastaan juga ditekankan yang sendirinya akan mengurankan beban rakyat.
"Daripada menyinggung kita dan buat kenyataan melulu begini, lebih baiklah berdepan supaya rakyat menilai.
"Nak mohon masa lebih pun tak apa tapi beri ruang kepada kita untuk jelaskan bajet pakatan rakyat dan buku jingga," katanya.