Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyerahkan dakwaan Pemuda PAS berhubung satu kegiatan 'sindiket' kad pengenalan untuk ditangani jawatankuasa terpilih khas parlimen untuk menambahbaik pilihan raya (PSC).
Katanya, kementerian berkenaan menyerahkan isu tersebut untuk ditangani jawatankuasa berkenaan memandangkan soal yang ditimbulkan itu "berunsur politik."
"Jadi lebih baik kita guna platform lebih luas, lebih telus, seperti apa yang diwujudkan melalui jawatankuasa ini untuk menjawab setiap tuduhan yang dibangkitkan," katanya.
"Kalau tidak, minggu ini (dakwaan berhubung) bas, minggu lepas (melibatkan pendatang) Bangladesh, minggu depan Burma pula," katanya.
Pemuda PAS minggu lalu dilaporkan mengepung sekumpulan 240 orang pendatang asing, kebanyakannya warga Bangladesh, yang dibawa dengan bas ke Putrajaya.
Penganjur yang membawa kumpulan pendatang asing itu mendakwa, warga berkenaan dibawa untuk menghadiri satu kursus keusahawanan.
Pemuda PAS bagaimanapun mengesyaki bahawa kumpulan itu dibawa untuk diberikan taraf kerakyatan dan seterusnya didaftarkan sebagai pengundi.
Ditanya dalam satu sidang media hari ini, Hishammuddin berkata beliau sendiri tidak mengetahui apakah program yang dihadiri kumpulan warga asing itu.
"Tak tahulah saya. Perkara kecil begitupun diperbesar-besarkan.
"Bila pertimbangannya politik, kalau kita jawab tepat pun, jawapan kita. Dia akan alih sasaran mereka kepada isu lain," katanya lagi.
Tambahnya, siasatan bagaimanapun sentiasa berjalan kerana dakwaan itu turut melibatkan integriti agensi di bawah kementeriannya.
"Tuduhan terhadap parti kita, kerajaan kita, Suruhanjaya Pilihan Raya, Jabatan Pendaftar, Jabatan Imigresen semata-mata hendak menghantui dan mengaburi mata orang ramai," katanya lagi.
Beliau bercakap dalam sidang media di bangunan parlimen selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Luar Burma, U Maung Myint berhubung isu melibatkan warganegara berkenaan di Malaysia.
Katanya, Burma telah memberi kesediaan untuk bekerjasama dengan Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin (Program 6P).
Seramai 144,098 pendatang tanpa izin Burma telah berjaya direkodkan melalui program tersebut.