Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Resolusi ubah nama, had umur ditolak
Diterbitkan:  Oct 15, 2011 7:29 PM
Dikemaskini: 11:31 AM

Dua daripada 11 resolusi yang dicadangkan Pemuda Gerakan tidak diluluskan delegasi Persidangan Perwakilan Pemuda Nasional Gerakan 2011 hari ini.

Resolusi yang tidak diluluskan ialah mengubah nama Pemuda Gerakan kepada Belia Gerakan untuk menarik sama belia wanita menyertai program anjuran belia parti.

    

Satu lagi usul yang tidak diluluskan ialah cadangan supaya had umur keanggotaan Pemuda Gerakan diturunkan daripada 45 tahun kepada 40 tahun demi membolehkan bakat muda pimpinan dilatih dan diketengahkan dalam parti.

    

Ketua Pemuda Nasional Gerakan Lim Si Pin ketika dihubungi selepas persidangan itu, berkata dua resolusi itu ditolak kerana delegasi menyifatkan masih belum sesuai untuk dilaksanakan pada masa kini.

    

Katanya penukaran nama Pemuda Gerakan kepada Belia Gerakan masih belum sesuai dilaksanakan kerana tidak banyak dialog diadakan di antara anggota pergerakan Pemuda dan anggota biro Beliawanis Gerakan berhubung cadangan itu.

    

"Kita perlu lebih banyak lagi dialog di antara kedua-dua ini sebelum boleh dilakukan penukaran nama berkenaan seterusnya bergabung antara Pemuda dan Beliawanis.

    

"Kedua-dua pihak juga perlu bersedia untuk menerima perubahan itu supaya parti dapat diteguhkan lagi selepas pertukaran nama dan penggabungan itu," katanya.

    

Mengenai resolusi had umur pula, Lim berkata delegasi menyifatkan umur 40 tahun itu sebagai 'masih mentah' dalam politik.

"Umur 40 adalah umur yang masih mentah dan ketika itu mereka baru mula belajar cara berpolitik dan tempoh lima tahun itu adalah tempoh pembelajaran sebelum masuk ke kancah politik," kata Lim.

    

"Jika hendak diturunkan lebih jauh lagi ke umur 30 juga tidak sesuai kerana pada umur itu biasanya mereka sedang sibuk dengan kerjaya dan membina keluarga.

"Tanggungjawab yang banyak akan menyukarkan mereka memberikan tumpuan sepenuhnya pada tugas dan khidmat kepada parti," katanya.

Selain dua resolusi itu, Pemuda Gerakan meluluskan untuk mencadangkan kepada kerajaan agar meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) di bawah Seksyen 15 bagi membolehkan golongan mahasiswa lebih bebas untuk melibatkan diri dengan politik.

    

Menurut Resolusi itu, pindaan itu penting supaya dapat memberi kebebasan kepada suara mahasiswa untuk didengari kerajaan dan berpolitik.

    

Selain itu, Pemuda Gerakan meminta supaya diwujudkan Majlis Perundingan Mahasiswa yang menggabungkan pemimpin-pemimpin mahasiswa serta pihak pentadbiran Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta untuk membincangkan masalah yang wujud akibat pindaan itu.

    

Pemuda Gerakan juga mencadangkan kepada kerajaan supaya memberi kebebasan penuh kepada media untuk melaporkan berita dan media harus diberi kuasa penuh menyelia sendiri penerbitan laporan mereka.

    

Tujuh resolusi lain pula banyak mencadangkan kepada kerajaan agar kepentingan dan keperluan rakyat diutamakan antaranya dalam menangani kos sara hidup dan pendidikan rakyat.

    

Persidangan Perwakilan Pemuda Gerakan dirasmikan oleh Naib Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan turut dihadiri oleh Pengerusi Pemuda Barisan Nasional Khairy Jamaluddin.

- Bernama

ADS