Kementerian Luar Negara hari ini mendedahkan bahawa lawatan dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Kazakhstan pada bulan Jun lalu bernilai RM1 juta.
Dewan Rakyat diberitahu jumlah keseluruhan sebanyak RM1,072,213.22 dibelanjakan bagi perdana menteri dan rombongannya menghadiri Forum Ekonomi Dunia Islam.
Lawatan itu yang berjaya memeterai lima perjanjian antara Malaysia dan Kazakhstan tetapi menimbulkan bidasan apabila timbul dakwaan ia juga digunakan oleh keluarga Najib bagi merisik bakal menantunya.
Menteri Luar Negara Datuk Seri Anifah Aman mendedahkan perkara itu ketika menjawab soalan bertulis anggota parlimen Batu Tian Chua.
Chua mahu tahu jumlah kos, matlamat dan hasil rombongan perdana menteri ke Kazakhtan pada Jun dan Perth ketika hari merdeka lalu.
Dalam jawapannya, Anifah turut menjelaskan, lawatan dua hari Najib ke Turkmenistan pada 11 dan 12 Julai pula bagi memenuhi undangan presiden negara itu.
Tian: PM perlu jelaskan
Ia, tambahnya, turut menyaksikan lima dokumen ditandatangani dan perbelanjannya pula berjumlah RM323,268.19.
Manakala lawatan ke Perth pada 31 Ogos ingga 3 September lalu pula merupakan lawatan peribadi.
Bagaimanapun, tambahnya, YAB perdana menteri mengambil peluang bertemu pelajar Malaysia dan mengadakan perbincangan dengan wakil kumpulan Muslim di sana.
Sementara itu, bercakap dalam sidang media selepas itu, Tian ( kanan ) berkata, kerajaan perlu menjelaskan perbelanjaannya ke Kazakhstan kerana jumlah itu terlalu besar untuk satu kunjungan.
"Bagaimana kita boleh guna perbelanjaan begitu besar untuk satu kunjungan saja?" soalnya.
Tian juga berkata perdana menteri juga "melawat presiden dan juga besan anak perdana menteri sendiri."
"Ini adalah perbelanjaan besar yang kita perlukan penjelasan daripada pemerintah," katanya.