Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Felcra: Penduduk diarah masuk afidavit penyampaian
Diterbitkan:  Oct 9, 2011 4:50 PM
Dikemaskini: 8:53 AM

Mahkamah Tinggi di Kota Baharu menetapkan 23 Okt bagi 55 penduduk dari Kampung Air Piau 1 dan Air Piau 2, Tanah Merah, yang menyaman Felcra Berhad berhubung tanah yang telah diusahakan mereka, untuk memasukkan afidavit penyampaian termasuk urusan saman dalam kamar kepada Felcra Berhad.

Peguam yang mewakili penduduk berkenaan, Mohd Nasir Abdullah berkata perkara itu diputuskan oleh Hakim Azman Abdullah pada prosiding pengurusan kes saman itu yang berlangsung di dalam kamar hari ini.

"Pihak kami juga hari ini telah diarah untuk memfailkan pembelaan terhadap tuntutan balas oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang mengatakan 55 plaintif telah menceroboh tanah berkenaan," katanya kepada pemberita selepas prosiding itu.

NONE Pada 25 Sept lepas, 55 penduduk berkenaan memfailkan saman terhadap Felcra Berhad dan kerajaan negeri Kelantan yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua bagi tuntutan ganti rugi bersabit penyerahan tanah seluas 184 hektar yang telah diusahakan mereka oleh Felcra Berhad kepada pihak kerajaan Kelantan.

Mereka turut menamakan tiga pihak yang lain sebagai defendan berikutnya iaitu PMBK, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kelantan dan Pentadbir Tanah Jajahan Tanah Merah.

Mohd Nasir berkata kecuali Felcra Berhad, kesemua defendan yang lain telah memfailkan pembelaan masing-masing.

Dalam pernyataan tuntutan penduduk terbabit, mereka menuntut kesemua defendan membayar ganti rugi am, faedah pada kadar lapan peratus setahun, kos dan relif yang akan ditentukan oleh mahkamah.

Penduduk berkenaan juga menuntut agar mereka diberikan kelulusan untuk memiliki hartanah seluas 2.4 hektar setiap seorang sebagaimana yang pada awalnya tanah itu telah diusahakan mereka pada 1979 sebelum diserahkan kepada Felcra Berhad bagi mengusahakan tanah berkenaan.

Menurut kesemua plaintif, tanah itu telah diteroka oleh mereka pada awal 1979 sewaktu Kelantan diperintah Barisan Nasional namun pada 2007, defendan kedua telah mengambil alih tanah berkenaan dan diletak hak kepada defendan ketiga tanpa sebarang perundingan dengan kesemua plaintif.

Tindakan itu disifatkan kesemua plaintif sebagai penafian mutlak terhadap usaha mereka  mengusahakan tanah itu sebelum ini atau telah gagal dan cuai mengambil kira kewujudan plaintif sejak 1979.

Defendan kedua sehingga kelima diwakili Penasihat Undang-undang Kelantan, Datuk Azlan Abdul Halim.

-- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS